Islam merupakan agama yang diredhai oleh Allah SWT , ia adalah suatu cara hidup yang wajib dilaksanakan, syariah merangkumi segenap kehidupan manusia, ia memenuhi segala keperluan manusia sama ada dalam bentuk dharuri, hajiyat dan tahsiniyat. Kesyumulan dalam syariah Islam meliputi hubungan lengkap dengan Allah SWT mahupun sesama manusia, ia juga merangkumi segala hukum yang bersumberkan wahyu serta hukum-hukum yang wujud selain dari sumber wahyu, ia juga termasuklah dalam aspek kekhalifahan manusia di muka bumi.
Penulisan ini bertujuan membincangkan mengenai konsep syariah yang syumul dan memenuhi keperluan manusia serta menganalisis perlaksanaan syariah yang pelbagai dinegara Malaysia .
Pengertian Syariah dari sudut bahasa memberi maksud aliran (المذهب) dan jalan yang lurus. Ungkapan bahasa arab juga menyebutnya sebagai (سرعة الماء ) yang membawa maksud jalan yang membawa kepada sumber air minuman. Pengertian syariah dari sudut istilah ialah “apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada manusia, merangkumi pelbagai hukum serta undang-undang. Hukum dan peraturan-peraturan Allah ini dinamakan sebagai syariah kerana ia merupakan jalan yang lurus dan benar daripada Allah SWT.
Syumul berasal daripada perkataan (سمل- يسمل) yang bermaksud meliputi, melindungi dan menyeluruh. Kesyumulan bermaksud Islam adalah agama yang mempunyai syariat yang lengkap dan menyeluruh, merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat, kesempurnaan Islam merupakan bukti ia datang dari Allah S.W.T yang Maha sempurna.
Kesyumulan agama Islam telah dijelaskan dalam al-Quran,
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tiadalah (haiwan) yang melata di bumi dan tiada pula burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatupun dalam kitab ini, kemudian mereka semuanya dihimpunkan kepada Tuhan mereka”.
(al-An'am:38)
2. KESYUMULAN DALAM SYARIAH
Kesyumulan dalam syariah meliputi segala aspek kehidupan rohani dan jasmani manusia. Kesyumulan meliputi setiap aspek kehidupan manusia sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Hassan al-Banna Rahimahullah di dalam al-’Usul al-’Isyrin (Usul 20):
“Bahawa Islam kita adalah daulah dan tanah air, kerajaan dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, pengetahuan dan perundangan, ilmu dan kehakiman, kebendaan dan harta, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah serta tentera dan fikrah, sebagaimana ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih.” (Muntalaq 2012)
Ciri-ciri kesyumulan dalam syariah meliputi aspek-aspek berikut:
i. Hubungan antara manusia dengan Allah SWT
ii. Hubungan antara manusia dengan manusia
iii. Kehidupan bersandarkan wahyu
iv. Manusia sebagai khalifah
2.1. Hubungan antara manusia dengan Allah SWT
2.1.1. Kesyumulan dalam perlaksanaan ibadah
Beribadah kepada Allah SWT bukan sahaja tertakluk kepada perbuatan semata-mata, ianya merangkumi seluruh pancaindera seperti hati, fikiran, lisan dan seumpamanya. Untuk mencapai kesyumulan dalam ibadah seseorang itu perlu memusatkan segala aktiviti rohani dan jasmani kepada Allah SWT dalam melaksanakan segala syariat, kesyumulan akan terhasil dari kesempurnaan hina diri, tunduk patuh, taat dan cinta kepada Allah SWT.
Kesyumulan Ibadah seringkali digambarkan dengan aktiviti solat, zikir, tazkirah, qiamullail dan sebagainya, tanggapan ini adalah salah kerana segala aktiviti harian seperti bekerja, bersukan, berkebun dan lain-lain juga adalah merupakan ibadah.
2.1.2 Kesyumulan Ibadah
Skop ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum.
i. Ibadah Khusus - Merangkumi segala ibadah yang telah dikhususkan kaedah perlaksanaannya seperti ibadah solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain.
ii. Ibadah Umum - Merangkumi segala ibadah yang tidak dikhususkan kaedah perlaksanaannya seperti bekerja, bersukan, menyediakan atau memakan makanan yang halal dan sebagainya selagi mana ianya dilakukan kerana Allah SWT.
Kesemua hukum-hukum ibadah yang telah digariskan oleh syariat adalah bertujuan untuk menyusun hubungan antara manusia dengan Allah SWT.
2.2. Hubungan antara manusia dengan manusia
Islam sebagai agama yang syumul meliputi segala aspek kehidupan dan hubungan antara manusia sesama manusia, Islam telah mengatur tatacara kehidupan manusia di alam ini, umat manusia akan terus dilindungi dan selamat selagi mereka terus berpegang teguh kepada syariat Islam.
Antara peraturan yang digariskan di dalam syariat adalah:
2.2.1 Kekeluargaan
Islam mengatur segala perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan, segala hukum yang berhubung dengan kekeluargaan bermula dari awal perancangannya sehinggalah ke penghujung perkahwinan, hukum-hukum ini termasuklah hal-hal berkaitan pernikahan, talak, nasab, nafkah, cerai, pewarisan harta dan sebagainya. Undang-undang ini bertujuan menyusun hubungan kekeluargaan antara suami, isteri, dan anak-anak.
2.2.2 Muamalat harta
Muamalat merupakan hukum syariat yang bersangkutan dengan aktiviti kehidupan manusia seperti urusan jual beli, sewaan, pinjaman, gadaian dan sebagainya. Islam telah meletak asas keredaan dalam segala urusan berkaitan pengurusan, kontrak berkaitan dengan harta.
Muamalat merupakan tatacara atau peraturan perhubungan sesama manusia yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam berlandaskan syariah.
2.2.3 Undang-undang Jenayah
Ia merupakan hukum-hukum yang berkaitan dengan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seorang mukalaf yang menyebabkan ianya wajar menerima hukuman, hukuman jenayah ini meliputi segala hukum yang telah ditentukan oleh Allah SWT seperti hudud, qisas, dan takzir. Ia bertujuan menjaga kehormatan dan hak-hak serta mengatur hubungan antara penjenayah dengan mangsa dan masyarakat. Ia juga bertujuan untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.
2.2.4 Kehakiman Islam
Ia berkaitan dengan undang-undang sivil dan jenayah seperti peraturan pendakwaan, persaksian, sumpah, qarinah dan seumpamanya. Undang-undang ini bertujuan untuk melaksanakan keadilan sesama manusia.
2.2.5 Peraturan hubungan antara negara atau Antarabangsa
Islam telah menggariskan peraturan dan asas hubungan antara negara Islam dengan negara bukan Islam sama ada ketika suasana aman atau tidak aman, ia juga meliputi peraturan hubungan rakyat bukan Islam dengan negara Islam. Peraturan ini juga termasuklah hal-hal berkaitan dengan perjanjian dan jihad. Tujuan peraturan ini adalah untuk menetapkan jenis hubungan, kerjasama serta sikap saling hormat menghormati di antara negara. Islam memerintahkan agar berlaku jujur dalam perjanjian damai dengan negara bukan Islam.
2.2.6 Peraturan dalam Sistem pemerintahan
Ia berkaitan dengan perlembagaan, peraturan, sistem undang-undang dan asas pemerintahan, ia merangkumi hubungan dan kewajipan pemerintah kepada rakyat serta hubungan dan kewajipan rakyat kepada pemerintah, ia juga bertujuan menentukan hak pemerintah dan rakyat.
2.2.7 Pertahanan negara
Mempertahankan negara dari sebarang ancaman musuh merupakan satu kewajipan bagi umat Islam, Islam menyarankan agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman musuh sama ada dari dalam atau luar negara, persediaan dari aspek kelengkapan peralatan, kemahiran dan keupayaan menentang musuh sangat dititik beratkan, ia termasuklah persediaan dari aspek fizikal, mental dan kerohanian.
2.2.8 Kesempurnaan akhlak
Islam meletakkan akhlak di tempat yang tinggi,
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus, (tiada lain, kecuali) supaya menyempurnakan akhlak yang mulia”.
(riwayat al-Bukhari)
Hadith di atas menunjukkan bukti pengiktirafan kedudukan akhlak di dalam Islam. Satu ciri khusus dalam sistem akhlak Islam ialah kesyumulannya atau ruang lingkup yang dirangkuminya secara menyeluruh, ia meliputi kesempurnaan akhlak dalam hubungan antara hamba dengan Allah SWT, akhlak sesama manusia dan akhlak manusia dengan alam.
2.3. Kehidupan bersandarkan wahyu
Usaha membawa insan kepada suatu penghayatan hidup beragama secara menyeluruh bersandarkan petunjuk wahyu adalah misi utama penurunan al-Quran dan pengutusan para nabi dan rasul. Wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia, keluasan sumber hukum yang terkandung di dalam al-Quran sangat sesuai digunakan pada bila-bila masa dan ketika serta sesuai digunakan oleh sesiapa sahaja. hukum yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunah terbahagi kepada dua iaitu:
2.3.1. Hukum qat’ie
Nas yang menunjukkan satu makna yang tertentu sahaja, ia merupakan peraturan yang tetap serta menepati kehendak jalan penyelesaian setiap permasalahan yang sering berlaku dalam kehidupan manusia.
Sebagai contoh nas yang membawa sifat qat’ie ialah:
i. Nas yang mewajibkan berpuasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.
(al-Baqarah:183)
ii. Nas Pembahagian harta pusaka
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak”.
(an-Nisaa:12)
iii. Nas yang mewajibkan perlaksanaan qisas
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh”.
(all-Baqarah: 178)
2.3.2. Hukum bukan qat’ie
Nas yang tidak menunjuk satu makna hukum tetapi perkemungkinan untuk ditakwilkan dengan makna yang lain, contohnya perkataan qura’ (قروء) dalam ayat 228 surah al-Baqarah membawa dua pengertian yang bertentangan sama ada haid atau suci, maka nas ini membawa dua kemungkinan untuk iddah, sama ada tiga kali datang haid atau tiga kali suci daripada haid. (Modul OUM ABSY 1103)
2.4. Manusia sebagai khalifah
Tujuan manusia diciptakan adalah untuk tunduk dan patuh kepada Allah SWT disamping menjadi khalifah di muka bumi serta melaksanakan segala perkara yang telah disyariatkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
(Al-Baqarah:30)
Syariat Islam menjadi panduan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT serta ianya menjadi rujukan dalam mentadbir, mengurus dan memakmurkan bumi ini, sebagai khalifah kita wajib melaksanakan Syariat Islam secara menyeluruh, syariat Islam perlu dipraktikkan dalam melaksanakan peranan kekhalifahan seperti berikut:
i. Memakmurkan Alam
Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan manusia sebagai khalifah dalam memakmurkan bumi dengan berpandukan Syariat Islam yang sebenar dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pegangan dan pedoman.
ii. Memelihara Alam
Kehidupan yang tidak berlandaskan syariat pasti mengakibatkan kepincangan urus tadbir yang akhirnya membawa kepada kehancuran alam akibat dari kejahilan manusia.
iii. Perlindungan
Dengan berpegang teguh kepada syariat Islam, manusia dan seluruh kehidupan alam akan dilindungi.
Peranan khalifah sebagai pentadbir atau pemimpin tidak hanya tertakluk kepada kuasa sebagai seorang pemerintah sesebuah kerajaan atau negara sahaja. Ia juga merupakan tanggung jawab setiap insan/ individu dalam urusan menegakkan syariat Allah di muka bumi. Melaksanakan syariat Islam yang syumul secara menyeluruh dalam mentadbir alam ini merupakan bukti pengabdian kita kepada Allah SWT.
3. PENGAPLIKASIAN PRINSIP SYARIAH DI MALAYSIA
Penerapan nilai dan prinsip syariah semakin mendapat sambutan dalam pelbagai bidang termasuk industri, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Dalam bidang industri di Malaysia, terdapat dua industri yang telah mengaplikasikan prinsip syariah dalam operasinya. Pertama adalah industri kewangan Islam yang dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Kedua ialah industri produk pemakanan halal yang dikawal selia dan di tadbir oleh JAKIM. (Utusan Malaysia 2014).
Berikut merupakan contoh bidang/aspek yang mengaplikasikan prinsip syariah dalam operasinya.
3.1. Aplikasi syariah dalam bidang perbankan Islam (industri kewangan)
Perbankan Islam merupakan institusi yang diwujudkan berlandaskan syarak bertujuan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bank khususnya kepada umat Islam. Ianya berlandaskan undang-undang syariah (fiqh Muamalah) berasaskan Al-Quran, as-Sunnah, ijmak, qiyas dan ijtihad.
Antara konsep syariah yang diterapkan dalam sistem perbankan Islam adalah:
i. Wadiah (simpanan)
Kontrak menyimpan sesuatu barang atau harta sebagai amanah. Di dalam kontrak ini pelanggan akan mendepositkan wang tunai atau aset lain sebagai simpanan di bank, bank akan menjamin keselamatan barang yang disimpan oleh pelanggannya.
ii. Mudarabah (perkongsian keuntungan)
Kontrak perkongsian keuntungan antara dua pihak, iaitu pemilik modal dan pengusaha. Pemilik modal akan menyediakan dana bagi pengusaha untuk menjalankan usaha niaga dan mendapat pulangan hasil daripada jumlah dana yang dilaburkan dalam usaha niaga tersebut berdasarkan nisbah perkongsian untung yang telah dipersetujui. Prinsip Mudarabah ini boleh digunakan dalam operasi perbankan Islam dan antara bank (sebagai pemilik modal) dan pengusaha. Kerugian yang dialamai akan ditanggung oleh pemilik modal.
iii. Bai’Bitaman Ajil (penjualan dengan harga tertangguh)
Ia merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh beserta dengan satu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekali gus atau secara ansuran.
iv. Murabahah (kos tambah)
Murabahah melibatkan penjualan barangan di antara penjual dan pembeli pada harga jualan yang telah termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Bagaimanapun, dalam Murabahah, penjual mesti memaklumkan kepada pembeli kos sebenar asset dan margin keuntungan semasa perjanjian jualan dibuat.
v. Musyakarah (usaha sama)
Dalam konteks perniagaan dan perdagangan, Musyakarah merujuk pada perkongsian atau usaha sama perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi oleh rakan kongsi berdasarkan nisbah yang dipersetujui yang mungkin tidak sama nisbahnya dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh rakan kongsi. Bagaimanapun, kerugian yang dialami akan dikongsi berdasarkan nisbah dana yang dilabur oleh setiap rakan kongsi.
vi. Ijarah Thumma Bai’ (sewa beli)
Ijarah Thumma Bai’ lazimnya digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutamanya pembiayaan kenderaan. Terdapat dua kontrak berasingan yang terlibat iaitu kontrak Ijarah (pajakan/penyewaan) dan kontrak Bai’ (Jual beli).
vii. Wakalah (agensi)
Ini merupakan satu kontrak di mana seseorang (prinsipal) melantik pihak lain bagi bertindak mewakili dirinya (sebagai ejen) untuk melaksanakan tugas-tugas khusus. pihak yang menerima tugas itu adalah ejen yang biasanya dibayar fi atas khidmatnya. Contohnya, seseorang pelanggan meminta bank membuat pembayaran kepada pihak lain di bawah syarat-syarat tertentu. Dalam hal ini, bank ialah ejen yang diberikan kuasa untuk melaksanakan transaksi kewangan bagi pihak pelanggan dan bank akan dibayar fi atas perkhidmatannya.
viii. Qard (kontrak hutang)
Di bawah perjanjian ini, pinjaman diberi untuk satu tempoh yang tetap atas semangat ihsan dan peminjam hanya perlu membayar balik jumlah pinjaman yang sebenar sahaja. Walau bagaimanapun, sekiranya peminjam membayar lebih berdasarkan budi bicaranya (tanpa ikatan perjanjian), ia dianggap sebagai tanda penghargaan kepada peminjam.
ix. Hibah (ganjaran)
Hibah merujuk kepada pemberian hadiah secara sukarela sebagai balasan kepada manfaat yang diterima.
Perbezaan utama di antara perbankan Islam dan konvensional ialah perbankan Islam berlandaskan Syariah. Perbankan Islam juga mesti mengelak aktiviti riba’, gharar (ketidakpastian yang berlebihan), perjudian dan penipuan.
3.2. Aplikasi syariah dalam bidang industri pemakanan
Selain memenuhi undang-undang Syariah yang wajib bagi setiap umat Islam, keselamatan makanan memainkan peranan penting dalam menentukan toyyiban, contohnya aspek kebaikan (selamat, bersih, berkhasiat, berkualiti) makanan tersebut.
“Bagi memastikan aspek-aspek tersebut tidak dipandang remeh, Malaysia telah menetapkan makanan Halal melalui MS1500:2004: Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengurusan & Penstoran – Panduan umum (Rujukan Pertama) sebagai makanan yang dibenarkan di bawah undang-undang Syariah dan memenuhi syarat-syarat berikut.” (Helfest 2014)
a) Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau produk haiwan yang tidak halal kepada orang Islam atau produk haiwan yang tidak disembelih mengikut undang-undang Syariah.
b) Tidak mengandungi sebarang ramuan yang najis mengikut undang-undang Syariah.
c) Selamat dan tidak membahayakan.
d) Tidak disediakan, diproses atau dikeluarkan menggunakan alatan yang tercemar dengan najis (kotoran dan tidak bersih) mengikut undang-undang Syariah.
e) Makanan atau ramuan makanan tidak mengandungi mana-mana bahagian manusia atau penghasilan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang Syariah.
f) Semasa pembuatan, pemprosesan, pembungkusan, penstoran atau pengangkutan, makanan tersebut terasing secara fizikal dengan mana-mana makanan yang tidak mencapai syarat yang telah dinyatakan di atas atau sebarang benda lain yang telah dikelaskan sebagai najis (kotoran atau tidak bersih) oleh undang-undang Syariah.
Perkara ini jelas menunjukkan bahawa produk yang tidak selamat, memabukkan dan membahayakan tidak akan disahkan Halal di bawah piawaian Malaysia.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata".
(An-Nahl:114)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa aspek pemakanan sangat ditekan oleh syariat.
3.3. Aplikasi syariah dalam bidang industri perhotelan
Bidang perhotelan berkonsepkan patuh syariah merupakan satu bidang yang berpotensi untuk diketengahkan dan ianya telahpun mula dipraktikkan di Malaysia, industri ini mempunyai masa hadapan yang cerah memandangkan ia merupakan perubahan dalam menyediakan hotel bagi golongan muslim.
Antara aspek syariah yang telah diaplikasikan dalam industri ini ialah:
i. Reka bentuk dan ruangan
Kebanyakan hotel yang telah mengaplikasikan konsep syariah sangat mengambil berat mengenai perkara-perkara seperti ruang bilik mempunyai petunjuk arah kiblat, sejadah, telekung serta ruangan yang selesa untuk menunaikan solat. Bilik mandi yang menyediakan kelengkapan mengikut syarak termasuk menyediakan paip untuk berwuduk.
ii. Kemudahan Surau
Sebagai kemudahan untuk pelanggan dan pekerja beribadah dan solat berjemaah, ini termasuklah menyediakan imam dan bilal untuk menjaga waktu solat serta mengadakan kuliah-kuliah pendek untuk pekerja dan pelanggan.
iii. Ruang dapur restoran dan penyediaan makanan
Aspek kebersihan dan menyediakan makanan halal serta tidak menyediakan makanan dan minuman yang haram.
iv. Organisasi dan pekerja hotel
Pekerja-pekerja diwajibkan mematuhi etika berpakaian dalam Islam serta menjaga akhlak serta dibenarkan untuk mendirikan solat apabila telah masuk waktu.
v. Pelanggan
Bertanggungjawab keatas perilaku dan aktiviti pelanggan, memastikan pelanggan yang menginap merupakan pasangan yang sah hubungan mengikut syarak.
vi. Kemudakan awam
Kemudahan awam yang disediakan seperti kolam mandi, televisyen, kelab akhbar dan lain-lain memenuhi ciri-ciri syarak.
vii. Sistem pengurusan kewangan hotel yang berlandaskan syariah
Walaupun industri perhotelan berkonsepkan syariah baru mula diperkenalkan, manun ianya sangat bermanfaat bagi seluruh umat Islam di dalam dan luar negara.
4. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
4.1. Memperkasakan industri perhotelan berkonsepkan syariah.
Kerajaan perlu menggubal atau meminda akta dan enakmen berkaitan dengan hotel, rumah penginapan dan dagangan supaya selari dengan konsep syariah Islam seperti mewajibkan setiap hotel memiliki sijil Halal dan mempunyai badan atau majlis penasihat syariah sebelum dibenarkan beroperasi.
Penerapan syariah bukan sahaja dari sudut luaran seperti menyediakan sejadah, arah kiblat, pemakanan halal dan lain-lain, tetapi penghayatan dan penerapan kesyumulan Islam itu juga perlu diterapkan terutamanya kepada tenaga kerja di peringkat atasan hingga ke pekerja bawahan.
4.2. Menamatkan sijil halal dan menutup premis perniagaan.
Menamatkan sijil halal dan menutup premis perniagaan serta mewajibkan pemilik perniagaan dan semua pekerjanya (beragama Islam dan bukan Islam) menghadiri sesi bimbingan kaunseling mengenai konsep penyediaan makan halal berlandaskan syariah, tindakan sirius perlu diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dalam syariah, tindakan tegas ini perlu bertujuan memberi pengajaran terhadap pesalah serta pengusaha-pengusaha dalam industri pemakanan.
4.3. Praktikal Perbankan Islam secara menyeluruh.
Perbankan Islam menggalakkan aktiviti yang memupuk keusahawanan, menjana perniagaan dan perdagangan serta menghasilkan pembangunan kemasyarakatan atau manfaat. Aktiviti yang melibatkan faedah (riba), perjudian (maisir) dan penipuan, pembohongan menyebabkan kerugian (gharar) adalah dilarang. Walau bagaimanapun kadar caj keuntungan pinjaman melalui perbankan Islam masih tinggi dan ia perlu dilakukan penambahbaikan.
Kesemua pelanggan yang memilih perbankan Islam adalah bertujuan agar mereka dilindungi dan terselamat dari unsur-unsur riba, maisir dan gharar, kadar caj keuntungan pinjaman sepatutnya adalah lebih rendah agar tidak membimbangkan pelanggan, hal ini juga akan memberi tanggapan negatif terhadap keberkesanan undang-undang perbankan Islam yang berlandaskan syarak.
Pihak terlibat perlu memperbaiki cara caj keuntungan yang dikenakan kepada peminjam dan menjadi pemudah cara untuk mendapatkan pinjaman dengan cepat.
4.4. Menghapuskan penjualan minuman keras (Arak).
Industri pemakanan di Malaysia dilihat masih membuka ruangan kepada penjualan minuman keras, walaupun ianya telah diharamkan namun minuman keras masih boleh diperoleh dengan mudah oleh sesiapa sahaja dari mana-mana premis jualan terkemuka. Ketegasan dalam melaksanakan undang-undang syariah ini sangat perlu bagi memastikan orang bukan Islam tidak memperkotak katekkan undang-undang Islam yang sepatutnya berjaya mengekang perkara-perkara mungkar.
Dalam situasi masa kini, adalah diakui amat sukar untuk melaksanakan cadangan tersebut, namun kerajaan dan penguat kuasa undang-undang perlu komited dan bersungguh-sungguh dalam memastikan agenda memartabatkan hukum syariah itu terlaksana dengan baik dan berjaya.
5. RUMUSAN
Ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam ajaran Islam terdapat pelbagai panduan hidup sama ada tentang urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan Negara, inilah keistimewaan agama Islam yang bersifat syumul atau universal. Islam mencakupi semua aspek kehidupan manusia dan dapat menghukum serta menyelesaikan apa saja permasalahan manusia, tidak wajarlah bagi seorang seorang Muslim itu menjadikan sebarang sistem lain untuk menyusun mana-mana aspek kehidupannya.
Syariah Islam merangkumi pelbagai sudut sama ada hubungan hamba kepada pencipta alam, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Undang-undang Islam menghukum semua perbuatan sama ada ia wajib, sunat, haram, makruh, harus, sah dan batal. Semua perbuatan manusia, sama ada zahir atau batin adalah terikat dengan hukuman ini, tidak ada satu pun yang terlepas daripada ruang lingkup tersebut.
Kesyumulan syariah dalam segenap sedut tentu sekali merujuk kepada sumber utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta sumber lain seperti Ijmak, Qiyas, Ijtihad, Masoleh al-Mursalah, Uruf, Istihsan dan lain-lain yang menjadi tunjang kepada hukum Islam.
Oleh kerana itulah, kesyumulan Syariah merupakan satu ketinggian dalam dunia umat Islam. Hanya mukmin yang bertaqwa sahaja yang mampu mendukungnya.
Wallahualam…
RUJUKAN
Wan Mokhtar Wan Muda(2010). Modul ABSY1103 Pengenalan Kepada Syariah
(Edisi kedua). Seri kembangan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Muhammad Noor bin Ibrahin, Dato’ Haji (2000). Mustika Hadith Rasulullah ﷺ
(Edisi ketujuh) Percetakan National Berhad Kuala Lumpur.
Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (2010). Indahnya Hidup Bersayariat
Wan Mokhtar Wan Muda(2010). Modul ABSY1103 Pengenalan Kepada Syariah
(Edisi kedua). Seri kembangan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Muhammad Noor bin Ibrahin, Dato’ Haji (2000). Mustika Hadith Rasulullah ﷺ
(Edisi ketujuh) Percetakan National Berhad Kuala Lumpur.
Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (2010). Indahnya Hidup Bersayariat
Sri Damansara : Telaga Biru Sdn. Bhd
Ustaz Hazamzaem Husin (2014) Tutur OUM PP Bangi
http://www.scribd.com/doc/20368680/Syariah-Dalam-Kehidupan-Manusia#scribd
http://www.academia.edu/4410494/Indeks_Pematuhan_Syariah_Pada_Bank_Islam_Di_Malaysia_Suatu_kajian_Pendahuluan_Pada_Pendahuluan_Pada_Produk_Bai_al_Inah
http://muhammadtoriq.blogspot.com/2015/01/kesyumulan-makna-ibadah_28.html
Sumber rujukan dari laman-laman sesawang dan buku-buku berkaitan.
Ustaz Hazamzaem Husin (2014) Tutur OUM PP Bangi
http://www.scribd.com/doc/20368680/Syariah-Dalam-Kehidupan-Manusia#scribd
http://www.academia.edu/4410494/Indeks_Pematuhan_Syariah_Pada_Bank_Islam_Di_Malaysia_Suatu_kajian_Pendahuluan_Pada_Pendahuluan_Pada_Produk_Bai_al_Inah
http://muhammadtoriq.blogspot.com/2015/01/kesyumulan-makna-ibadah_28.html
Sumber rujukan dari laman-laman sesawang dan buku-buku berkaitan.
FAKULTI SAINS SOSIAL GUNAAN
ABSY1103 PENGENALAN KEPADA SYARIAH (Assignment Jan 2015)