Selasa, 20 Mac 2018

Konsep mas kahwin dalam Islam dan pengamalannya dalam masyarakat masa kini.

PENGENALAN

Perkahwinan adalah satu bentuk syariat dalam Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW. Antara etika dalam perlaksanaan syariat ini ialah pemberian mas kahwin yang merupakan bukti kesungguhan suami terhadap isteri yang ingin dinikahinya, ia juga merupakan sebagai penghormatan seorang suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami untuk hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga.

Islam menuntut umatnya bersederhana dalam setiap urusan termasuk ibadah perkahwinan yang melibatkan pemberian mas kahwin. Agama Islam tidak meletakkan kadar tertentu dalam hal pemberian mas kahwin, ia adalah berdasarkan kemampuan dan persetujuan dari pihak suami dan isteri. Terdapat banyak nas dari al-Quran dan Hadis yang menerangkan tentang persoalan berkaitan mas kahwin apabila berlakunya akad antara suami dan isteri. Islam sangat menekankan aspek kesederhanaan dalam perihal berkaitan mas kahwin.

Di Malaysia, terdapat perbezaan kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam setiap negeri-negeri sebagai panduan masyarakat terutama kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. aplikasi dinar emas sebagai mas kahwin juga semakin menjadi perhatian masyarakat masa kini yang telah mula sedar akan kelebihan dan manfaatnya untuk jangka masa panjang demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga yang bakal dibina. Penulisan ini akan membincangkan tentang konsep mas kahwin dalam Islam, perbezaan kadar mahar di antara negeri-negeri di Malaysia, manfaat dari pengaplikasian dinar emas sebagai mas kahwin serta pengamalannya dalam masyarakat pada masa kini.

2. KONSEP MAS KAHWIN

Mas kahwin ataupun mahar merupakan suatu pemberian wajib daripada suami kepada isteri disebabkan berlakunya akad nikah. Mas kahwin merupakan hak seorang wanita (isteri) yang harus dipenuhi oleh lelaki (suami) yang akan menikahinya. Mas kahwin adalah hak mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh sesiapapun termasuk ibu bapa, wali atau pihak lain kecuali dengan izin atau redha daripadanya. 

2.1. Definisi mas kahwin 

    2.1.1. Menurut bahasa.
Menurut kamus Dewan, Mas kahwin bermaksud pemberian wajib yang berupa wang (al-Quran dan sebagainya) oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan semasa upacara akad nikah. Mas kahwin juga disebut sebagai ‘mahar’ yang berasal dari perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut sebagai al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-faridhah, al-‘aqd dan ajr.

    2.1.2. Menurut istilah syarak.
Menurut istilah syarak mas kahwin ataupun mahar ialah sesuatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan. 

Firman Allah SWT didalam surah An-Nisa’4:4 yang bermaksudnya:

“Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.

    2.1.3. Menurut tafsiran undang-undang Malaysia.
Seksyen 21 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 peruntukan perkara berkaitan mas kahwin atau mahar adalah seperti berikut;

“Mas kahwin” bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.

2.2. Hukum berkaitan mas kahwin
Hukum memberi mas kahwin atau mahar kepada isteri adalah wajib. Mas kahwin boleh berupakan wang atau suatu yang bernilai dan bermanfaat seperti emas, wang, pakaian, bangunan, pekerjaan dan perkhidmatan. Mas kahwin atau mahar juga boleh dibayar secara tunai ataupun hutang bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

i. Pandangan mas kahwin menurut mazhab Hanafi;
Isteri berhak menerima mahar apabila akad nikahnya sah.

ii. Pandangan mas kahwin menurut mazhab Syafie;
Diwajibkan mahar bukan disebabkan akad yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid (tidak sah), si suami tidak wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.

Walaupun kedudukan mas kahwin atau mahar amat penting dalam sebuah pernikahan, namun umumnya para ulama berpendapat bahawa kedudukan mahar bukanlah sebagai rukun dalam sebuah pernikahan. Mereka juga sepakat bahawa kedudukannya juga bukan sebagai syarat sah pernikahan. Sebuah akad nikah tetap sah meskipun tanpa adanya mahar. Mahar hanyalah salah satu hukum dari hukum-hukum pernikahan. Menurut Haron (1988), perkahwinan adalah sah jika tidak disebutkan kadar mas kahwin dalam masa akad.

2.3. Dalil al-Quran, Hadith dan Ijmak ulama berkaitan mas kahwin

Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri, di antaranya ialah;

a. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban;” (An-Nisa’4:24)

b. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Seandainya seseorang tidak memiliki sesuatu untuk membayar mahar, maka ia boleh membayar mahar dengan mengajar ayat al-Quran yang dihafalnya”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

c. Ketika Rasulullah SAW hendak menikahkan seorang sahabat dengan perempuan yang menyerahkan dirinya kepada beliau, baginda bersabda;

Maksudnya:

“Carilah (mas kahwin) sekalipun cincin yang terbuat dari besi”. (Riwayat Bukhari & Muslim) 

Selain dalil al-Quran dan Hadith, mas kahwin juga adalah wajib menurut ijmak ulama. Tiada khilaf langsung berkaitan kewajipan mas kahwin kepada perempuan untuk dikahwini.

3. BENTUK PEMBERIAN MAS KAHWIN DALAM ISLAM 

Mas kahwin disyaratkan sebagai persiapan awal serta kesanggupan si suami untuk memikul tanggungjawab memberi nafkah dan membina rumah tangga. Ia juga bertujuan untuk menggembirakan hati isteri yang sanggup meninggalkan keluarga demi untuk tinggal bersama suaminya. Mas kahwin juga adalah merupakan satu pemberian ikhlas daripada suami sebagai tanda penghormatan kepada isteri.

Kadar dan bentuk mas kahwin tidak ditetapkan dalam syariat Islam, ia bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa sesuatu tempat atau masyarakat. mas kahwin akan ditentukan melalui persetujuan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan berdasarkan kemampuan bakal suami serta kedudukan si isteri. Namun Islam sangat menekankan konsep kesederhanaan dalam menetapkan kadar mas kahwin. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan dalam perkahwinan adalah yang sederhana mas kahwinnya”. (Riwayat imam Ahmad & al-Hakim)

Mas kahwin boleh berupakan wang atau suatu yang bernilai dan bermanfaat seperti emas, wang, pakaian, bangunan, pekerjaan dan perkhidmatan, malah terdapat Hadith yang menyatakan bahawa mas kahwin juga boleh di beri dalam bentuk mengajar isteri ayat suci al-Quran yang dihafaz oleh suami. Mas kahwin atau mahar juga boleh dibayar secara tunai ataupun hutang bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

3.1. Jenis Mas Kahwin.

    3.1.1. Mahar Misil.

i. Mahar misil adalah mas kahwin yang tidak ditentukan kadar, jenis dan cara pemberiannya dalam akad akan tetapi ditetapkan mengikut kadar mas kahwin yang pernah diterima oleh perempuan dalam keluarga si isteri. Ini bermakna, mas kahwin yang akan diberikan kepada isteri adalah sama dengan kadar mas kahwin yang pernah diterima oleh adik-beradik perempuan termasuklah anak saudara perempuan atau ibu saudaranya.

Sebagai contoh, dalam sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Abdullah bin mas’ud ditanya tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan tetapi tidak membayar mas kahwin dan tidak menyetubuhi isterinya sehingga meninggal dunia. Beliau menjawab, ‘Perempuan ini mendapat mahar misil seperti saudara-saudara perempuannya, tidak kurang atau lebih. Dia juga mempunyai idah dan berhak mendapat pusaka’. Ma’qal bin Sinan bangun dan berkata, ‘sesungguhnya Rasulullah SAW telah memutuskan perkara seperti ini terhadap Barwa’ binti Wasiq’. (Riwayat Abu daud & Tirmizi)

ii. Setelah akad nikah, isteri berhak mendapat mahar misil jika telah berlaku persetubuhan antara mereka. Isteri juga layak mendapat mahar misil dan mewarisi harta suami jika suami meninggal dunia sebelum persetubuhan, jika berlaku perceraian sebelum persetubuhan, isteri hanya boleh diberi mutaah (pemberian) sahaja.

    3.1.2. Mahar Musamma.

i. Mahar musamma adalah mas kahwin yang ditentukan kadarnya dan disebut dalam akad serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Persetujuan ini meliputi jumlah dan jenisnya, sama ada boleh secara tunai atau hutang serta boleh diserahkan semasa akad atau selepas akad.

ii. Selepas akad nikah dan berlaku persetubuhan, suami wajib menyerahkan semua mahar musamma yang telah dipersetujui kepada isterinya. Namun, suami hanya perlu menyerahkan separuh mas kahwin itu sahaja jika berlaku perceraian sebelum mereka bersetubuh. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran;

Maksudnya:

“Dan jika kamu senaraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu”. (al-Baqarah 2:237)

Walaupun begitu suami tidak wajib membayar apa-apa pun mas kahwin kepada isteri sekiranya berlaku perceraian antara mereka yang berpunca dari faktor sebelah isteri seperti murtad atau perceraian disebabkan permohonan fasakh atau khuluk.

3.2. Keterlaluan dalam mas kahwin.

Islam adalah ajaran yang mudah dan bukan menyusahkan umatnya. Namun pada masa kini bagaikan telah menjadi satu trend dalam masyarakat yang gemar meletakkan mas kahwin, duit hantaran atau barangan hantaran dengan jumlah yang tinggi sehingga boleh menjejaskan urusan perkahwinan. Hal ini sangatlah tidak wajar kerana agama Islam sangat menitik beratkan kesederhanaan dan saling memudahkan dalam meletakkan mas kahwin.

i. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan dalam perkahwinan adalah yang sederhana mas kahwinnya”. (Riwayat imam Ahmad & al-Hakim)

ii. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sebaik-baik perkahwinan adalah yang paling mudah”. (Riwayat Abu Dawud & al-Hakim)

Hukum meletakkan mas kahwin dengan harga yang tinggi adalah makruh. Oleh itu, jumlah mas kahwin, duit hantaran dan barangan hantaran mestilah ditetapkan sesuai dengan situasi semasa serta mengambil kira kemampuan pihak lelaki. Hukum akan menjadi sunat dalam meletakkan jumlah mas kahwin dan hantaran yang tidak keterlaluan serta sesuai, ia juga membawa keberkatan dan kebaikan dalam membina rumah tangga.

4. PERBEZAAN KADAR MAS KAHWIN ANTARA NEGERI DI MALAYSIA.

Di Malaysia, mas kahwin ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri, ini bertujuan agar mas kahwin dapat di selaras mengikut kesesuaian, keadaan semasa serta kehidupan masyarakat di sesebuah negeri. Ia juga dapat mengelak dari masalah jumlah mas kahwin yang tinggi sewenang-wenangnya diletakkan oleh waris sehingga membebankan pihak lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga.

Walau bagaimanapun terdapat ketidakseragaman pada kadar mas kahwin yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri. Hal ini dapat dilihat di beberapa negeri yang masing-masing mempunyai kadar mas kahwin yang berbeza. Di Malaysia, hal berkaitan mas kahwin adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah Syariah di bawah bidang kuasa Sultan di setiap negeri. ini bermaksud, perkara-perkara berkaitan perkahwinan termasuklah kadar mas kahwin adalah berbeza mengikut negeri masing-masing. Nilai mas kahwin bagi setiap negeri dapat dilihat melalui jadual 4.1. 


                         Jadual 4.1 

Berdasarkan jadual 4.1, terdapat empat perbezaan kadar mas kahwin di Malaysia yang dikenal pasti seperti berikut;

i. Kadar mas kahwin yang sama di antara janda dan anak dara. 
ii. Kadar mas kahwin yang berbeza di antara janda dan anak dara. 
iii. Kadar mas kahwin mengikut status dalam masyarakat. 
iv. Kadar mas kahwin yang tidak ditetapkan.

4.1. Kadar mas kahwin yang sama di antara janda dan anak dara.

Dengan merujuk kepada jadual 4.1, dapat dilihat kadar mas kahwin di beberapa negeri yang tidak membezakan jumlah mahar di antara wanita berstatus janda dan anak dara. Sungguhpun begitu terdapat ketidakseragaman pada kadar mas kahwin yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri yang mungkin berpunca dari keadaan atau situasi serta mengambil kira kesesuaian kadar mas kahwin yang minimum bagi masyarakat di negeri-negeri berkenaan.

Bagi wanita di negeri Johor, kadar mas kahwinnya sebanyak RM22.50 sahaja sama ada janda atau anak dara, di Melaka pula kadar mas kahwin adalah sebanyak RM40.00 bagi janda dan anak dara, manakala di negeri Perak kadar mas kahwin adalah sebanyak RM101.00 bagi janda dan anak dara, begitu juga dengan Pulau Pinang (RM24.00), Pahang (RM22.50), Sarawak (RM120) dan Labuan (RM80.00). Kesemua negeri-negeri ini meletakkan kadar mas kahwin yang sama bagi wanita berstatus janda dan anak dara.

4.2. Kadar mas kahwin yang berbeza di antara janda dan anak dara

Terdapat dua negeri iaitu Kuala Lumpur dan Sabah masing-masing menetapkan kadar mas kahwin yang berbeza di antara wanita berstatus janda dan anak dara, Bagi wanita di Kuala Lumpur kadar mas kahwin yang ditetapkan adalah sebanyak RM40.00 pagi janda dan RM80.00 pagi anak dara, manakala di negeri Sabah pula talah menetapkan mas kahwin sebanyak RM80.00 bagi janda dan RM100.00 bagi anak dara.

4.3. Kadar mas kahwin mengikut status dalam masyarakat

Bagi Negeri Selangor dan Negeri Sembilan pula, kadar mas kahwin berbeza mengikut status wanita dalam masyarakat, dakar mas kahwin antara janda dan anak dara juga adalah berbeza. Sebagai contoh di Selangor, kadar mas kahwin bagi Puteri Sultan adalah sebanyak RM625.00 bagi yang berstatus janda dan RM2500.00 bagi yang berstatus anak dara. Kadar mas kahwin juga adalah tidak sama bagi setiap kerabat diraja Selangor yang lain seperti Puteri Raja Muda, Puteri Kerabat, Puteri anak Raja serta kerabat orang-orang besar. Majlis Agama Islam Negeri Selangor telah membuat penyelarasan pada kadar mas kahwin bagi orang kebanyakan iaitu RM300.00 bagi janda dan anak dara.

Kadar mas kahwin di Negeri Sembilan telah diselaraskan pada Oktober 2006, terdapat perubahan pada kadar mas kahwin bagi ‘orang kebanyakan’ berstatus janda (RM100.00) dan anak dara (RM200.00). Seperti yang tertera dalam jadual 4.1, perbezaan kadar mas kahwin di Selangor dan Negeri Sembilan adalah berdasarkan status seseorang wanita dalam masyarakat.

4.4. Kadar mas kahwin yang tidak ditetapkan

Berlainan pula hal yang berlaku di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan. Majlis Agama Islam di negeri-negeri ini tidak menentukan kadar bayaran bagi mas kahwin yang perlu diberi oleh suami kepada isteri. Ini bermakna, kadar mas kahwin adalah terletak kepada persetujuan kedua-dua belah pihak serta mengikut kadar nilaian semasa masyarakat setempat.

Pendekatan ini dilihat lebih selesa berbanding kadar mas kahwin yang ditetapkan, walau bagaimanapun, pihak Majlis Agama Islam di setiap negeri mungkin mempunyai hujah atau alasan tertentu yang mendorong kepada penetapan kadar mas kahwin di negeri masing-masing.

Jumlah seperti yang tertera pada jadual 4.1 hanyalah panduan dalam hal menentukan kadar mas kahwin. Pihak lelaki boleh memberi jumlah mas kahwin lebih dari kadar yang ditetapkan, namun ia tidak boleh kurang dari jumlah tersebut.

Kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri tidaklah terlalu tinggi dan sememangnya mampu dibayar oleh masyarakat Malaysia sama ada yang berpendapatan tinggi atau rendah. Akan tetapi, masalah berlaku apabila ramai yang menjadikan mas kahwin sebagai suatu perkara yang memberatkan dengan meletakkan kadar yang terlalu tinggi ditambah pula dengan wang hantaran yang membebankan sehingga merunsingkan bakal suami mahupun bakal isteri.

Sebagai contoh, Dipetik dari Utusan Online 28 Mac 2016. Mengenai wang hantaran tidak cukup. 

“KUALA LUMPUR 27 Mac – Hasrat sepasang bakal pengantin untuk membina ‘masjid’ musnah apabila bakal pengantin lelaki dan abang saudara tunang bertelingkah dan bertumbuk selepas perbincangan antara kedua-dua belah keluarga tidak mendapat kata sepakat”.

Islam menyarankan agar bersederhana dalam meletakkan nilai mas kahwin serta tidak pula melarang pemberian wang hantaran, namun ia tidak seharusnya melampai batas sehingga boleh menimbulkan perbalahan antara pihak lelaki dan wanita yang akhirnya merosakkan perhubungan. Agama Islam sangat menitik beratkan kesederhanaan dan saling memudahkan dalam segala perkara.

5. KELEBIHAN DINAR EMAS SEBAGAI MAS KAHWIN

Mas kahwin menggunakan dinar emas semakin menjadi perhatian kerana masyarakat Islam khususnya di Malaysia semakin bijak dan sedar tentang kelebihan dan manfaatnya. Hal ini akan menjadikan permintaan terhadap emas semakin tinggi kerana ia bukan sahaja digunakan sebagai barangan perhiasan malah boleh menjadi aset pelaburan jangka panjang.

Masyarakat sudah mula sedar akan penyusutan kuasa membeli wang kertas Ringgit Malaysia dan sudah mula mahu menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh sekiranya pengantin lelaki menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin kerana ia lebih menguntungkan bagi pengantin perempuan.

5.1. Dinar emas merupakan mata wang sejagat untuk umat Islam

Dinar emas merupakan satu syariat di dalam agama Islam dan ia merupakan mata wang Islam yang sebenar. Penggunaan dinar emas terdapat dalam al-Quran dan Hadith. Berdasarkan sejarah dunia Islam, dinar emas juga digunakan pada zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman kegemilangan Islam. Dalam konteks zaman sekarang, penggunaan dinar emas sebagai mata wang atau mas kahwin amatlah digalakkan kerana dinar emas merupakan amalan Sunnah yang mesti diteruskan. Di samping pengaplikasiannya akan mendapat keberkatan dan pahala, ia juga merupakan dakwah kepada masyarakat agar kembali kepada penggunaan dinar emas dalam pelbagai urusan seperti yang disyariatkan.

5.2. Penyimpan nilai terbaik dan kalis inflasi

Aplikasi dinar emas sebagai mas kahwin juga mampu menjana ekonomi kehidupan keluarga untuk jangka masa panjang. Emas merupakan penyimpan nilai terbaik, sistem kewangan masa kini yang berasaskan wang kertas gagal untuk menangani spekulasi dan manipulasi dalam kewangan dunia.

Dinar emas mampu menjadi tukaran nilai mata wang yang kukuh serta produk pelaburan yang dapat melindungi nilai daripada inflasi. Sejarah juga menunjukkan apabila berlaku inflasi harga emas akan naik, maka dolar Amerika dan mata wang utama dunia hilang nilai. Dinar emas juga akan terus stabil apa bila dolar Amarika mengalami pengukuhan semula. Penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin amat menarik dan menguntungkan kerana pasangan pengantin akan kelihatan hebat dan cemerlang sekiranya memiliki emas yang mampu menjadi aset bernilai tinggi sebagai persediaan berhadapan ketidaktentuan ekonomi.

5.3. Sebagai pelaburan jangka masa sederhana dan panjang

Dinar emas mampu menjamin kestabilan ekonomi rumah tangga. Menyimpan atau melaburkan dinar emas adalah sesuatu yang menguntungkan. Pada kebiasaannya, dalam tempoh satu tahun nilai dinar emas akan mengalami perbezaan harga naik dan turun. Antara faktor penurunan nilai dinar emas adalah kekukuhan mata wang dolar Amerika manakala faktor kenaikan nilai dinar emas adalah kejatuhan mata wang dolar Amerika, krisis ekonomi dunia, perang, bencana dunia dan lain-lain. Seseorang yang memiliki dinar emas tidak akan jatuh miskin kerana emas menyimpan nilai yang stabil berbanding wang kertas (fiat).

5.4. Menyelamatkan keluarga dari bencana atau masalah kewangan

Mas kahwin yang diberi dalam betuk dinar emas juga dapat menyelamatkan keluarga dari bencana dan masalah kewangan, ini kerana emas adalah aset kewangan yang tidak berada dalam sistem kewangan (azhargoldwealth.2014). Sekiranya keluarga terjebak ke dalam bencana kewangan seperti diisytiharkan muflis atau bank tempat menyimpan wang bermasalah atau bankrap. Dinar emas masih boleh dijadikan sebagai penyelamat kepada keluarga, dinar emas mudah dicairkan atau dijual serta mampu menyimpan nilai tinggi dipasaran.

5.5. Keuntungan ekonomi dan kuasa politik umat Islam

Sekiranya penggunaan dinar emas diaplikasikan dalam pelbagai urusan seperti perdagangan, perbankan, urusan jual beli, perkahwinan dan lain-lain secara menyeluruh pasti akan dapat membantu menguatkan ekonomi umat Islam. Penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin dapat meningkatkan permintaan terhadap penggunaan dinar emas sekali gus dapat mengembalikan kegemilangan penggunaan dinar emas seperti yang telah dinyatakan di dalam syiar Islam.

6. KESIMPULAN

Perkahwinan merupakan ikatan suci yang terbina antara suami dan isteri dengan akad pernikahan yang sah menurut rukun dan syarat yang telah ditetapkan dalam Islam. Pemilihan berkahwin dengan anak dara atau janda adalah hak individu itu sendiri, hal memilih calon isteri perlulah mengikut panduan seperti yang telah disarankan di dalam al-Quran dan Hadith. Suami harus memahami dengan jelas tentang perkara berkaitan pemberian mas kahwin ataupun mahar yang merupakan suatu pemberian wajib daripada suami kepada isteri disebabkan berlakunya akad nikah.

Mas kahwin merupakan hak seorang isteri yang harus dipenuhi oleh suami, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu mahar misil dan mahar musamma. Mahar misil adalah mas kahwin yang tidak ditentukan kadar, jenis dan cara pemberiannya dalam akad akan tetapi ditetapkan mengikut kadar mas kahwin yang pernah diterima oleh perempuan dalam keluarga si isteri, manakala mahar musamma adalah mas kahwin yang ditentukan kadarnya dan disebut dalam akad serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Persetujuan ini meliputi jumlah dan jenisnya, sama ada boleh secara tunai atau hutang serta boleh diserahkan semasa akad atau selepas akad. Agama Islam sangat menitik beratkan kesederhanaan dan saling memudahkan dalam meletakkan mas kahwin.

Kadar mas kahwin di Malaysia ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri dan terikat dengan bidang kuasa Sultan. Ini bermakna, segala perkara yang berdasarkan perkahwinan termasuklah penetapan kadar mas kahwin adalah berbeza mengikut kesesuaian, keadaan semasa serta kehidupan masyarakat di sesebuah negeri. Turut terdapat perbezaan mas kahwin di antara anak dara, janda serta terdapat negeri yang membezakan kadar mas kahwin mengikut status seseorang wanita. Walaupun Islam tidak melarang dalam hal menetapkan kadar mas kahwin, perbezaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana Islam menganjurkan persamaan dan hanya ketakwaan kepada Allah SWT sahaja yang membezakan manusia.

Penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin amatlah di galakkan kerana ini merupakan antara langkan-langkan untuk mengembalikan kegemilangan penggunaan dinar emas dan dirham sebagai alat dalam pelbagai urusan, ia juga boleh menjadi aset yang menguntungkan keluarga, masyarakat dan negara di samping dapat mengukuhkan ekonomi dan politik Islam di masa akan datang. 


RUJUKAN

 Dr. Muhammad Az-Auhaili (2009). Al-Mu’tamad-Fiqah Imam Syafi’i
(Jilid 3) Batu Cave: Percetakan Zafar SDN. BHD .

Muhammad Noor bin Ibrahin, Dato’ Haji (2000). Mustika Hadith Rasulullah
(Edisi ketujuh) Percetakan National Berhad Kuala Lumpur.

Najahudin Lateh (2014), Modul OUM ABSK3103 Fiqh Munakahat.
            (Edisi Kedua). Hak cipta OUM

Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera Dekan (2010), Dinar Emas: Satu Gagasan dan
Cabaran Pelaksanaan. Institut Perbankan and Kewangan Islam Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia

Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad, Hailani Muji Tahir (2009) Dinar Emas Dalam Islam.
Prosiding Perkem.

Zurita Mohd Yusoff (2008), Jurnal Islam &Masyarakat Kontemporari:Amalan Pemberian
Mas Kahwin Di Malaysia.


Sumber-sumber lain dari laman sesawang.
ABSK 3103 FIQH MUNAKAHAT September 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ciri-ciri kesyumulan syariah Islam, pengaplikasian prinsip syariah di Malaysia

1. PENGENALAN Islam merupakan agama yang diredhai oleh Allah SWT , ia adalah suatu cara hidup yang wajib dilaksanakan, syariah meran...