Selasa, 20 Mac 2018

Konsep mas kahwin dalam Islam dan pengamalannya dalam masyarakat masa kini.

PENGENALAN

Perkahwinan adalah satu bentuk syariat dalam Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW. Antara etika dalam perlaksanaan syariat ini ialah pemberian mas kahwin yang merupakan bukti kesungguhan suami terhadap isteri yang ingin dinikahinya, ia juga merupakan sebagai penghormatan seorang suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami untuk hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga.

Islam menuntut umatnya bersederhana dalam setiap urusan termasuk ibadah perkahwinan yang melibatkan pemberian mas kahwin. Agama Islam tidak meletakkan kadar tertentu dalam hal pemberian mas kahwin, ia adalah berdasarkan kemampuan dan persetujuan dari pihak suami dan isteri. Terdapat banyak nas dari al-Quran dan Hadis yang menerangkan tentang persoalan berkaitan mas kahwin apabila berlakunya akad antara suami dan isteri. Islam sangat menekankan aspek kesederhanaan dalam perihal berkaitan mas kahwin.

Di Malaysia, terdapat perbezaan kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam setiap negeri-negeri sebagai panduan masyarakat terutama kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. aplikasi dinar emas sebagai mas kahwin juga semakin menjadi perhatian masyarakat masa kini yang telah mula sedar akan kelebihan dan manfaatnya untuk jangka masa panjang demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga yang bakal dibina. Penulisan ini akan membincangkan tentang konsep mas kahwin dalam Islam, perbezaan kadar mahar di antara negeri-negeri di Malaysia, manfaat dari pengaplikasian dinar emas sebagai mas kahwin serta pengamalannya dalam masyarakat pada masa kini.

2. KONSEP MAS KAHWIN

Mas kahwin ataupun mahar merupakan suatu pemberian wajib daripada suami kepada isteri disebabkan berlakunya akad nikah. Mas kahwin merupakan hak seorang wanita (isteri) yang harus dipenuhi oleh lelaki (suami) yang akan menikahinya. Mas kahwin adalah hak mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh sesiapapun termasuk ibu bapa, wali atau pihak lain kecuali dengan izin atau redha daripadanya. 

2.1. Definisi mas kahwin 

    2.1.1. Menurut bahasa.
Menurut kamus Dewan, Mas kahwin bermaksud pemberian wajib yang berupa wang (al-Quran dan sebagainya) oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan semasa upacara akad nikah. Mas kahwin juga disebut sebagai ‘mahar’ yang berasal dari perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut sebagai al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-faridhah, al-‘aqd dan ajr.

    2.1.2. Menurut istilah syarak.
Menurut istilah syarak mas kahwin ataupun mahar ialah sesuatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan. 

Firman Allah SWT didalam surah An-Nisa’4:4 yang bermaksudnya:

“Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.

    2.1.3. Menurut tafsiran undang-undang Malaysia.
Seksyen 21 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 peruntukan perkara berkaitan mas kahwin atau mahar adalah seperti berikut;

“Mas kahwin” bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.

2.2. Hukum berkaitan mas kahwin
Hukum memberi mas kahwin atau mahar kepada isteri adalah wajib. Mas kahwin boleh berupakan wang atau suatu yang bernilai dan bermanfaat seperti emas, wang, pakaian, bangunan, pekerjaan dan perkhidmatan. Mas kahwin atau mahar juga boleh dibayar secara tunai ataupun hutang bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

i. Pandangan mas kahwin menurut mazhab Hanafi;
Isteri berhak menerima mahar apabila akad nikahnya sah.

ii. Pandangan mas kahwin menurut mazhab Syafie;
Diwajibkan mahar bukan disebabkan akad yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid (tidak sah), si suami tidak wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.

Walaupun kedudukan mas kahwin atau mahar amat penting dalam sebuah pernikahan, namun umumnya para ulama berpendapat bahawa kedudukan mahar bukanlah sebagai rukun dalam sebuah pernikahan. Mereka juga sepakat bahawa kedudukannya juga bukan sebagai syarat sah pernikahan. Sebuah akad nikah tetap sah meskipun tanpa adanya mahar. Mahar hanyalah salah satu hukum dari hukum-hukum pernikahan. Menurut Haron (1988), perkahwinan adalah sah jika tidak disebutkan kadar mas kahwin dalam masa akad.

2.3. Dalil al-Quran, Hadith dan Ijmak ulama berkaitan mas kahwin

Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri, di antaranya ialah;

a. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban;” (An-Nisa’4:24)

b. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Seandainya seseorang tidak memiliki sesuatu untuk membayar mahar, maka ia boleh membayar mahar dengan mengajar ayat al-Quran yang dihafalnya”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

c. Ketika Rasulullah SAW hendak menikahkan seorang sahabat dengan perempuan yang menyerahkan dirinya kepada beliau, baginda bersabda;

Maksudnya:

“Carilah (mas kahwin) sekalipun cincin yang terbuat dari besi”. (Riwayat Bukhari & Muslim) 

Selain dalil al-Quran dan Hadith, mas kahwin juga adalah wajib menurut ijmak ulama. Tiada khilaf langsung berkaitan kewajipan mas kahwin kepada perempuan untuk dikahwini.

3. BENTUK PEMBERIAN MAS KAHWIN DALAM ISLAM 

Mas kahwin disyaratkan sebagai persiapan awal serta kesanggupan si suami untuk memikul tanggungjawab memberi nafkah dan membina rumah tangga. Ia juga bertujuan untuk menggembirakan hati isteri yang sanggup meninggalkan keluarga demi untuk tinggal bersama suaminya. Mas kahwin juga adalah merupakan satu pemberian ikhlas daripada suami sebagai tanda penghormatan kepada isteri.

Kadar dan bentuk mas kahwin tidak ditetapkan dalam syariat Islam, ia bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa sesuatu tempat atau masyarakat. mas kahwin akan ditentukan melalui persetujuan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan berdasarkan kemampuan bakal suami serta kedudukan si isteri. Namun Islam sangat menekankan konsep kesederhanaan dalam menetapkan kadar mas kahwin. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan dalam perkahwinan adalah yang sederhana mas kahwinnya”. (Riwayat imam Ahmad & al-Hakim)

Mas kahwin boleh berupakan wang atau suatu yang bernilai dan bermanfaat seperti emas, wang, pakaian, bangunan, pekerjaan dan perkhidmatan, malah terdapat Hadith yang menyatakan bahawa mas kahwin juga boleh di beri dalam bentuk mengajar isteri ayat suci al-Quran yang dihafaz oleh suami. Mas kahwin atau mahar juga boleh dibayar secara tunai ataupun hutang bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

3.1. Jenis Mas Kahwin.

    3.1.1. Mahar Misil.

i. Mahar misil adalah mas kahwin yang tidak ditentukan kadar, jenis dan cara pemberiannya dalam akad akan tetapi ditetapkan mengikut kadar mas kahwin yang pernah diterima oleh perempuan dalam keluarga si isteri. Ini bermakna, mas kahwin yang akan diberikan kepada isteri adalah sama dengan kadar mas kahwin yang pernah diterima oleh adik-beradik perempuan termasuklah anak saudara perempuan atau ibu saudaranya.

Sebagai contoh, dalam sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Abdullah bin mas’ud ditanya tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan tetapi tidak membayar mas kahwin dan tidak menyetubuhi isterinya sehingga meninggal dunia. Beliau menjawab, ‘Perempuan ini mendapat mahar misil seperti saudara-saudara perempuannya, tidak kurang atau lebih. Dia juga mempunyai idah dan berhak mendapat pusaka’. Ma’qal bin Sinan bangun dan berkata, ‘sesungguhnya Rasulullah SAW telah memutuskan perkara seperti ini terhadap Barwa’ binti Wasiq’. (Riwayat Abu daud & Tirmizi)

ii. Setelah akad nikah, isteri berhak mendapat mahar misil jika telah berlaku persetubuhan antara mereka. Isteri juga layak mendapat mahar misil dan mewarisi harta suami jika suami meninggal dunia sebelum persetubuhan, jika berlaku perceraian sebelum persetubuhan, isteri hanya boleh diberi mutaah (pemberian) sahaja.

    3.1.2. Mahar Musamma.

i. Mahar musamma adalah mas kahwin yang ditentukan kadarnya dan disebut dalam akad serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Persetujuan ini meliputi jumlah dan jenisnya, sama ada boleh secara tunai atau hutang serta boleh diserahkan semasa akad atau selepas akad.

ii. Selepas akad nikah dan berlaku persetubuhan, suami wajib menyerahkan semua mahar musamma yang telah dipersetujui kepada isterinya. Namun, suami hanya perlu menyerahkan separuh mas kahwin itu sahaja jika berlaku perceraian sebelum mereka bersetubuh. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran;

Maksudnya:

“Dan jika kamu senaraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu”. (al-Baqarah 2:237)

Walaupun begitu suami tidak wajib membayar apa-apa pun mas kahwin kepada isteri sekiranya berlaku perceraian antara mereka yang berpunca dari faktor sebelah isteri seperti murtad atau perceraian disebabkan permohonan fasakh atau khuluk.

3.2. Keterlaluan dalam mas kahwin.

Islam adalah ajaran yang mudah dan bukan menyusahkan umatnya. Namun pada masa kini bagaikan telah menjadi satu trend dalam masyarakat yang gemar meletakkan mas kahwin, duit hantaran atau barangan hantaran dengan jumlah yang tinggi sehingga boleh menjejaskan urusan perkahwinan. Hal ini sangatlah tidak wajar kerana agama Islam sangat menitik beratkan kesederhanaan dan saling memudahkan dalam meletakkan mas kahwin.

i. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan dalam perkahwinan adalah yang sederhana mas kahwinnya”. (Riwayat imam Ahmad & al-Hakim)

ii. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sebaik-baik perkahwinan adalah yang paling mudah”. (Riwayat Abu Dawud & al-Hakim)

Hukum meletakkan mas kahwin dengan harga yang tinggi adalah makruh. Oleh itu, jumlah mas kahwin, duit hantaran dan barangan hantaran mestilah ditetapkan sesuai dengan situasi semasa serta mengambil kira kemampuan pihak lelaki. Hukum akan menjadi sunat dalam meletakkan jumlah mas kahwin dan hantaran yang tidak keterlaluan serta sesuai, ia juga membawa keberkatan dan kebaikan dalam membina rumah tangga.

4. PERBEZAAN KADAR MAS KAHWIN ANTARA NEGERI DI MALAYSIA.

Di Malaysia, mas kahwin ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri, ini bertujuan agar mas kahwin dapat di selaras mengikut kesesuaian, keadaan semasa serta kehidupan masyarakat di sesebuah negeri. Ia juga dapat mengelak dari masalah jumlah mas kahwin yang tinggi sewenang-wenangnya diletakkan oleh waris sehingga membebankan pihak lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga.

Walau bagaimanapun terdapat ketidakseragaman pada kadar mas kahwin yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri. Hal ini dapat dilihat di beberapa negeri yang masing-masing mempunyai kadar mas kahwin yang berbeza. Di Malaysia, hal berkaitan mas kahwin adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah Syariah di bawah bidang kuasa Sultan di setiap negeri. ini bermaksud, perkara-perkara berkaitan perkahwinan termasuklah kadar mas kahwin adalah berbeza mengikut negeri masing-masing. Nilai mas kahwin bagi setiap negeri dapat dilihat melalui jadual 4.1. 


                         Jadual 4.1 

Berdasarkan jadual 4.1, terdapat empat perbezaan kadar mas kahwin di Malaysia yang dikenal pasti seperti berikut;

i. Kadar mas kahwin yang sama di antara janda dan anak dara. 
ii. Kadar mas kahwin yang berbeza di antara janda dan anak dara. 
iii. Kadar mas kahwin mengikut status dalam masyarakat. 
iv. Kadar mas kahwin yang tidak ditetapkan.

4.1. Kadar mas kahwin yang sama di antara janda dan anak dara.

Dengan merujuk kepada jadual 4.1, dapat dilihat kadar mas kahwin di beberapa negeri yang tidak membezakan jumlah mahar di antara wanita berstatus janda dan anak dara. Sungguhpun begitu terdapat ketidakseragaman pada kadar mas kahwin yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri yang mungkin berpunca dari keadaan atau situasi serta mengambil kira kesesuaian kadar mas kahwin yang minimum bagi masyarakat di negeri-negeri berkenaan.

Bagi wanita di negeri Johor, kadar mas kahwinnya sebanyak RM22.50 sahaja sama ada janda atau anak dara, di Melaka pula kadar mas kahwin adalah sebanyak RM40.00 bagi janda dan anak dara, manakala di negeri Perak kadar mas kahwin adalah sebanyak RM101.00 bagi janda dan anak dara, begitu juga dengan Pulau Pinang (RM24.00), Pahang (RM22.50), Sarawak (RM120) dan Labuan (RM80.00). Kesemua negeri-negeri ini meletakkan kadar mas kahwin yang sama bagi wanita berstatus janda dan anak dara.

4.2. Kadar mas kahwin yang berbeza di antara janda dan anak dara

Terdapat dua negeri iaitu Kuala Lumpur dan Sabah masing-masing menetapkan kadar mas kahwin yang berbeza di antara wanita berstatus janda dan anak dara, Bagi wanita di Kuala Lumpur kadar mas kahwin yang ditetapkan adalah sebanyak RM40.00 pagi janda dan RM80.00 pagi anak dara, manakala di negeri Sabah pula talah menetapkan mas kahwin sebanyak RM80.00 bagi janda dan RM100.00 bagi anak dara.

4.3. Kadar mas kahwin mengikut status dalam masyarakat

Bagi Negeri Selangor dan Negeri Sembilan pula, kadar mas kahwin berbeza mengikut status wanita dalam masyarakat, dakar mas kahwin antara janda dan anak dara juga adalah berbeza. Sebagai contoh di Selangor, kadar mas kahwin bagi Puteri Sultan adalah sebanyak RM625.00 bagi yang berstatus janda dan RM2500.00 bagi yang berstatus anak dara. Kadar mas kahwin juga adalah tidak sama bagi setiap kerabat diraja Selangor yang lain seperti Puteri Raja Muda, Puteri Kerabat, Puteri anak Raja serta kerabat orang-orang besar. Majlis Agama Islam Negeri Selangor telah membuat penyelarasan pada kadar mas kahwin bagi orang kebanyakan iaitu RM300.00 bagi janda dan anak dara.

Kadar mas kahwin di Negeri Sembilan telah diselaraskan pada Oktober 2006, terdapat perubahan pada kadar mas kahwin bagi ‘orang kebanyakan’ berstatus janda (RM100.00) dan anak dara (RM200.00). Seperti yang tertera dalam jadual 4.1, perbezaan kadar mas kahwin di Selangor dan Negeri Sembilan adalah berdasarkan status seseorang wanita dalam masyarakat.

4.4. Kadar mas kahwin yang tidak ditetapkan

Berlainan pula hal yang berlaku di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan. Majlis Agama Islam di negeri-negeri ini tidak menentukan kadar bayaran bagi mas kahwin yang perlu diberi oleh suami kepada isteri. Ini bermakna, kadar mas kahwin adalah terletak kepada persetujuan kedua-dua belah pihak serta mengikut kadar nilaian semasa masyarakat setempat.

Pendekatan ini dilihat lebih selesa berbanding kadar mas kahwin yang ditetapkan, walau bagaimanapun, pihak Majlis Agama Islam di setiap negeri mungkin mempunyai hujah atau alasan tertentu yang mendorong kepada penetapan kadar mas kahwin di negeri masing-masing.

Jumlah seperti yang tertera pada jadual 4.1 hanyalah panduan dalam hal menentukan kadar mas kahwin. Pihak lelaki boleh memberi jumlah mas kahwin lebih dari kadar yang ditetapkan, namun ia tidak boleh kurang dari jumlah tersebut.

Kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri tidaklah terlalu tinggi dan sememangnya mampu dibayar oleh masyarakat Malaysia sama ada yang berpendapatan tinggi atau rendah. Akan tetapi, masalah berlaku apabila ramai yang menjadikan mas kahwin sebagai suatu perkara yang memberatkan dengan meletakkan kadar yang terlalu tinggi ditambah pula dengan wang hantaran yang membebankan sehingga merunsingkan bakal suami mahupun bakal isteri.

Sebagai contoh, Dipetik dari Utusan Online 28 Mac 2016. Mengenai wang hantaran tidak cukup. 

“KUALA LUMPUR 27 Mac – Hasrat sepasang bakal pengantin untuk membina ‘masjid’ musnah apabila bakal pengantin lelaki dan abang saudara tunang bertelingkah dan bertumbuk selepas perbincangan antara kedua-dua belah keluarga tidak mendapat kata sepakat”.

Islam menyarankan agar bersederhana dalam meletakkan nilai mas kahwin serta tidak pula melarang pemberian wang hantaran, namun ia tidak seharusnya melampai batas sehingga boleh menimbulkan perbalahan antara pihak lelaki dan wanita yang akhirnya merosakkan perhubungan. Agama Islam sangat menitik beratkan kesederhanaan dan saling memudahkan dalam segala perkara.

5. KELEBIHAN DINAR EMAS SEBAGAI MAS KAHWIN

Mas kahwin menggunakan dinar emas semakin menjadi perhatian kerana masyarakat Islam khususnya di Malaysia semakin bijak dan sedar tentang kelebihan dan manfaatnya. Hal ini akan menjadikan permintaan terhadap emas semakin tinggi kerana ia bukan sahaja digunakan sebagai barangan perhiasan malah boleh menjadi aset pelaburan jangka panjang.

Masyarakat sudah mula sedar akan penyusutan kuasa membeli wang kertas Ringgit Malaysia dan sudah mula mahu menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh sekiranya pengantin lelaki menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin kerana ia lebih menguntungkan bagi pengantin perempuan.

5.1. Dinar emas merupakan mata wang sejagat untuk umat Islam

Dinar emas merupakan satu syariat di dalam agama Islam dan ia merupakan mata wang Islam yang sebenar. Penggunaan dinar emas terdapat dalam al-Quran dan Hadith. Berdasarkan sejarah dunia Islam, dinar emas juga digunakan pada zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman kegemilangan Islam. Dalam konteks zaman sekarang, penggunaan dinar emas sebagai mata wang atau mas kahwin amatlah digalakkan kerana dinar emas merupakan amalan Sunnah yang mesti diteruskan. Di samping pengaplikasiannya akan mendapat keberkatan dan pahala, ia juga merupakan dakwah kepada masyarakat agar kembali kepada penggunaan dinar emas dalam pelbagai urusan seperti yang disyariatkan.

5.2. Penyimpan nilai terbaik dan kalis inflasi

Aplikasi dinar emas sebagai mas kahwin juga mampu menjana ekonomi kehidupan keluarga untuk jangka masa panjang. Emas merupakan penyimpan nilai terbaik, sistem kewangan masa kini yang berasaskan wang kertas gagal untuk menangani spekulasi dan manipulasi dalam kewangan dunia.

Dinar emas mampu menjadi tukaran nilai mata wang yang kukuh serta produk pelaburan yang dapat melindungi nilai daripada inflasi. Sejarah juga menunjukkan apabila berlaku inflasi harga emas akan naik, maka dolar Amerika dan mata wang utama dunia hilang nilai. Dinar emas juga akan terus stabil apa bila dolar Amarika mengalami pengukuhan semula. Penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin amat menarik dan menguntungkan kerana pasangan pengantin akan kelihatan hebat dan cemerlang sekiranya memiliki emas yang mampu menjadi aset bernilai tinggi sebagai persediaan berhadapan ketidaktentuan ekonomi.

5.3. Sebagai pelaburan jangka masa sederhana dan panjang

Dinar emas mampu menjamin kestabilan ekonomi rumah tangga. Menyimpan atau melaburkan dinar emas adalah sesuatu yang menguntungkan. Pada kebiasaannya, dalam tempoh satu tahun nilai dinar emas akan mengalami perbezaan harga naik dan turun. Antara faktor penurunan nilai dinar emas adalah kekukuhan mata wang dolar Amerika manakala faktor kenaikan nilai dinar emas adalah kejatuhan mata wang dolar Amerika, krisis ekonomi dunia, perang, bencana dunia dan lain-lain. Seseorang yang memiliki dinar emas tidak akan jatuh miskin kerana emas menyimpan nilai yang stabil berbanding wang kertas (fiat).

5.4. Menyelamatkan keluarga dari bencana atau masalah kewangan

Mas kahwin yang diberi dalam betuk dinar emas juga dapat menyelamatkan keluarga dari bencana dan masalah kewangan, ini kerana emas adalah aset kewangan yang tidak berada dalam sistem kewangan (azhargoldwealth.2014). Sekiranya keluarga terjebak ke dalam bencana kewangan seperti diisytiharkan muflis atau bank tempat menyimpan wang bermasalah atau bankrap. Dinar emas masih boleh dijadikan sebagai penyelamat kepada keluarga, dinar emas mudah dicairkan atau dijual serta mampu menyimpan nilai tinggi dipasaran.

5.5. Keuntungan ekonomi dan kuasa politik umat Islam

Sekiranya penggunaan dinar emas diaplikasikan dalam pelbagai urusan seperti perdagangan, perbankan, urusan jual beli, perkahwinan dan lain-lain secara menyeluruh pasti akan dapat membantu menguatkan ekonomi umat Islam. Penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin dapat meningkatkan permintaan terhadap penggunaan dinar emas sekali gus dapat mengembalikan kegemilangan penggunaan dinar emas seperti yang telah dinyatakan di dalam syiar Islam.

6. KESIMPULAN

Perkahwinan merupakan ikatan suci yang terbina antara suami dan isteri dengan akad pernikahan yang sah menurut rukun dan syarat yang telah ditetapkan dalam Islam. Pemilihan berkahwin dengan anak dara atau janda adalah hak individu itu sendiri, hal memilih calon isteri perlulah mengikut panduan seperti yang telah disarankan di dalam al-Quran dan Hadith. Suami harus memahami dengan jelas tentang perkara berkaitan pemberian mas kahwin ataupun mahar yang merupakan suatu pemberian wajib daripada suami kepada isteri disebabkan berlakunya akad nikah.

Mas kahwin merupakan hak seorang isteri yang harus dipenuhi oleh suami, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu mahar misil dan mahar musamma. Mahar misil adalah mas kahwin yang tidak ditentukan kadar, jenis dan cara pemberiannya dalam akad akan tetapi ditetapkan mengikut kadar mas kahwin yang pernah diterima oleh perempuan dalam keluarga si isteri, manakala mahar musamma adalah mas kahwin yang ditentukan kadarnya dan disebut dalam akad serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Persetujuan ini meliputi jumlah dan jenisnya, sama ada boleh secara tunai atau hutang serta boleh diserahkan semasa akad atau selepas akad. Agama Islam sangat menitik beratkan kesederhanaan dan saling memudahkan dalam meletakkan mas kahwin.

Kadar mas kahwin di Malaysia ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri dan terikat dengan bidang kuasa Sultan. Ini bermakna, segala perkara yang berdasarkan perkahwinan termasuklah penetapan kadar mas kahwin adalah berbeza mengikut kesesuaian, keadaan semasa serta kehidupan masyarakat di sesebuah negeri. Turut terdapat perbezaan mas kahwin di antara anak dara, janda serta terdapat negeri yang membezakan kadar mas kahwin mengikut status seseorang wanita. Walaupun Islam tidak melarang dalam hal menetapkan kadar mas kahwin, perbezaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana Islam menganjurkan persamaan dan hanya ketakwaan kepada Allah SWT sahaja yang membezakan manusia.

Penggunaan dinar emas sebagai mas kahwin amatlah di galakkan kerana ini merupakan antara langkan-langkan untuk mengembalikan kegemilangan penggunaan dinar emas dan dirham sebagai alat dalam pelbagai urusan, ia juga boleh menjadi aset yang menguntungkan keluarga, masyarakat dan negara di samping dapat mengukuhkan ekonomi dan politik Islam di masa akan datang. 


RUJUKAN

 Dr. Muhammad Az-Auhaili (2009). Al-Mu’tamad-Fiqah Imam Syafi’i
(Jilid 3) Batu Cave: Percetakan Zafar SDN. BHD .

Muhammad Noor bin Ibrahin, Dato’ Haji (2000). Mustika Hadith Rasulullah
(Edisi ketujuh) Percetakan National Berhad Kuala Lumpur.

Najahudin Lateh (2014), Modul OUM ABSK3103 Fiqh Munakahat.
            (Edisi Kedua). Hak cipta OUM

Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera Dekan (2010), Dinar Emas: Satu Gagasan dan
Cabaran Pelaksanaan. Institut Perbankan and Kewangan Islam Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia

Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad, Hailani Muji Tahir (2009) Dinar Emas Dalam Islam.
Prosiding Perkem.

Zurita Mohd Yusoff (2008), Jurnal Islam &Masyarakat Kontemporari:Amalan Pemberian
Mas Kahwin Di Malaysia.


Sumber-sumber lain dari laman sesawang.
ABSK 3103 FIQH MUNAKAHAT September 2016.

Nilai Dan Etika Masyarakat Melayu Dalam Mengekang Penyalahgunaan Media Sosial.


PENGENALAN

Aplikasi terkini media sosial membuka ruang dan peluang kepada masyarakat masa kini mewujudkan hubungan secara maya tanpa perlu menghadirkan diri dalam ruang lingkup persekitaran sosial yang nyata. Rentetan dari itu, persekitaran ini telah menjadi penyumbang kepada pandangan negatif sesetengah pihak yang menganggap mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang diingini tanpa mempedulikan adab, nilai dan etika sebagai pengguna media sosial.

Peradaban bangsa menjadi kayu pengukur tahap ketamadunan manusia yang merujuk kepada perkembangan nilai sosial kelompok masyarakat tertentu. Adab bersosial dalam kalangan masyarakat kini menjadi runcing akibat persekitaran sosial yang terlalu terbuka dan diluar kawalan. Perkembangan teknologi komunikasi telah memungkinkan aktiviti sosial sekelompok masyarakat tertentu berlaku di luar peradaban Islam.

Kerukunan hidup orang Melayu adalah berteraskan nilai dan etika Islam seperti bersopan santun, bersangka baik, memberi pertolongan, menjaga kerukunan dan saling menghormati. Nilai dan etika itu kebelakangan ini kelihatan semakin terhakis akibat perkembangan gaya hidup seperti yang dipancarkan dalam media sosial. Penggunaan media sosial seperti Blog, E-mel, Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan sebagainya membolehkan penyebaran berita palsu, penipuan atas talian, jenayah siber dan sebagainya berlaku secara berleluasa sehingga ia menjadi  gangguan dan ancaman kepada kerukunan hidup seharian.

Penulisan ini akan membincangka sejauh manakah nilai dan etika masyarakat Melayu boleh mengekang penyalahgunaan media sosial.

2. APAKAH MEDIA SOSIAL?
Media sosial merupakan sejenis alat yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Blog, rangkaian sosial dan wiki merupakan bentuk media sosial yang paling umum digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Jika media tradisional menggunakan media cetak dan media penyiaran, maka media sosial menggunakan internet.

2.1. Definisi Media Sosial.
Terdapat beberapa pengertian mengenai media sosial telah dirumuskan oleh berbagai pihak, baik dalam kajian komunikasi mahupun kajian lain. Menurut Carr dan Hayes, definisi atau pengertian yang telah dirumuskan seringkali merujuk media sosial pada tiga hal utama iaitu:
  • Teknologi digital yang menekankan pada user-generated content atau interaksi.
  • Karakteristik media.
  • Jejaring sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan lain-lain sebagai contoh model interaksi.
Berikut merupakan beberapa definisi-definisi media sosial;

i. Andreas Kaplan dan Michael Haenlein.
Mendefinisikan media sosial sebagai "sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0, dan yang membolehkan penciptaan dan pertukaran. Sementara itu, jaringan sosial merupakan laman di mana setiap orang boleh membuat laman web secara peribadi, kemudian berhubung dengan rakan-rakan untuk berkongsi maklumat dan berkomunikasi.


ii. McGraw Hill Dictionary.
Media sosial adalah sarana yang digunakan oleh orang-orang untuk berinteraksi satu sama lain dengan cara menciptakan, berkongsi, serta bertukar informasi dan gagasan dalam sebuah jaringan dan komunikasi virtual. 


iii. Varinder Taprial dan Priya Kanwar (2012).
Media sosial adalah media yang digunakan oleh individu agar menjadi sosial, atau menjadi sosial secara daring dengan cara berkongsi isi, berita, gambar dan lain-lain dengan orang lain. 


iv. Mark Hopkins (2008)
Sosial media adalah istilah yang tidak hanya merujuk kepada berbagai platform Media Baru tetapi ia juga berkaitan sistem seperti FriendFeed, Facebook, dan lain-lain yang pada umumnya dianggap sebagai jejaring sosial. Dengan kata lainnya bahawa berbagai platform media yang memiliki komponen sosial dan sebagai media komunikasi umum. 


v. P.N. Howard dan M.R Parks (2012).
Media sosial adalah media yang terdiri atas tiga bagian, yaitu : Insfrastruktur informasi dan alat yang digunakan untuk memproduksi dan mendistribusikan isi media, Isi media berupa pesanan peribadi, berita, gagasan, dan produk-produk budaya yang berbentuk digital, Kemudian yang memproduksi dan mengkonsumsi isi media dalam bentuk digital adalah individu, organisasi, dan industri. 


vi. Michael Cross (2013).
Media sosial adalah sebuah istilah yang menggambarkan bermacam-macam teknologi yang digunakan untuk mengikat orang-orang ke dalam suatu kolaborasi, saling bertukar informasi, dan berinteraksi melalui isi pesan yang berasas web. Internet selalu mengalami perkembangan, maka berbagai bentuk teknologi dan fitur yang tersedia untuk pengguna juga selalu mengalami perubahan. Hal ini menjadikan media sosial lebih hipotesis dibandingkan sebuah sumber rujukan khusus terhadap berbagai penggunaan atau rancangan. 

vii. Caleb T. Carr dan Rebecca A. Hayes (2015).
Media sosial adalah media berasaskan Internet yang membolehkan pengguna berinteraksi dan memperkenalkan diri, baik secara seketika ataupun tertunda, secara umum ataupun tidak yang mendorong nilai dari user-generated content dan persepsi interaksi dengan orang lain. 


2.2. Jenis Media Sosial, Penggunaan dan Populariti.
Jaringan sosial terbesar antara lainnya ialah Facebook, WhatsApp, Instagram dan Twitter. Media sosial mengajak sesiapa sahaja yang berminat untuk berhibur dengan memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka, memberi komen, serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad. 

Ketika teknologi internet dan telefon bimbit semakin maju maka media sosialpun ikut membangun dengan pesat. Kini untuk mengakses facebook atau twitter misalnya, boleh dilakukan di mana-mana saja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan sebuah telefon bimbit. Begitu pantasnya seseorang boleh mengakses media sosial mengakibatkan terjadinya fenomena besar terhadap arus maklumat tidak hanya di negara-negara maju, bahkan juga di Malaysia. Kerana kelajuannya media sosial juga mula tampak menggantikan peranan media massa konvensional dalam menyebarkan berita-berita. 

Kepesatan perkembangan media sosial kini kerana semua orang seperti boleh memiliki media sendiri. Jika untuk memiliki media tradisional seperti televisyen, radio, atau akhbar memerlukan modal yang besar dan tenaga kerja yang banyak, maka lain halnya dengan media. Seorang pengguna media sosial boleh mengakses menggunakan media sosial dengan rangkaian internet bahkan yang aksesnya lambat sekalipun, tanpa bayaran besar, tanpa alat mahal dan dilakukan sendiri tanpa pekerja. Pengguna media sosial dengan tidak boleh menyunting, menambah, mengubah suai baik tulisan, gambar, video, grafik, dan pelbagai model kandungan lain.

Menurut Antony Mayfield dari iCrossing, media sosial adalah mengenai ‘menjadi manusia biasa’. Manusia biasa yang saling berkongsi idea, bekerjasama, dan bekerjasama untuk mencipta ciptaan, berfikir, berdebat, mencari seseorang yang boleh menjadi kawan baik, mencari pasangan, dan membina sebuah komuniti. Terasnya, dengan menggunakan media sosial menjadikan kita sebagai diri sendiri. Selain kelajuan maklumat yang boleh diakses dalam beberapa saat, menjadikan diri sendiri dalam media sosial merupakan alasan mengapa media sosial berkembang pesat. 

Berdasarkan statistik terkini, penggunaan harian media sosial oleh pengguna Internet secara global telah mencecah 106.2 minit sehari berbanding 103.2 minit sehari pada 2014. Facebook masih media sosial paling popular pada 2015 dengan 1.5 bilion pengguna aktif sebulan.

3. PERANAN DAN KESAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL
Fenomena media sosial begitu popular masa kini dan jumlah penggunanya amat tinggi. Bagi kebanyakan pengguna tegar media sosial, masa penggunaan boleh mencecah melebihi 12 jam sehari. Keadaan ini tentu merunsingkan ramai pihak seperti ibu bapa, suami, isteri dan majikan. Pada pandangan mereka, produktiviti kerja pasti menurun kerana banyak masa terbazir pada media sosial yang dianggap tidak berfaedah. Namun bagi pengguna media sosial, masa tersebut tidak sia-sia kerana mereka mendapat banyak manfaat daripada interaksi di alam siber.

Masyarakat kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian umum. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup masyarakat masa kini.

3.1. Peranan Media Sosial.
Masyarakat dunia termasuk di Malaysia kini mempunyai gaya hidup berteraskan digital. Hampir semua urusan seperti perbankan sehingga ke memesan makanan dapat dilakukan dengan menggunakan peralatan digital. Berdasarkan gaya hidup ini dan penularan penggunaan media sosial, ramai pihak yang mengambil kesempatan untuk berkongsi maklumat, memberi komen, gossip termasuklah berniaga secara atas talian. Penggunaan media sosial yang bijak mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada pelbagai usahawan Internet yang dahulu terhad pasarannya. Media sosial juga digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Kerajaan Malaysia untuk menyampaikan khidmat berguna dengan kos yang amat murah. Media sosial turut digunakan oleh masyarakat luar bandar, ia berperanan menghubungkan ahli keluarga yang berjauhan. Media sosial juga boleh digunakan untuk berdakwah.

Media sosial berperanan menjadi pengantara atau media di alam siber untuk membolehkan penggunanya mencipta pelbagai maklumat berkenaan pelbagai perkara secara santai dalam bentuk teks, gambar dan video yang dikongsikan kepada rakan-rakan dalam suatu rangkaian maya. 

Melalui media, pengguna komputer tidak lagi perlu keluar dan dapat bersembang atau berkongsi pendapat dengan rakan mereka secara maya. Kawan-kawan baru juga mudah diperoleh kerana berbanding di dunia sebenar tiada batasan atau sekatan pergaulan dalam alam maya. Penggunaan media sosial seperti kemudahan streaming video membolehkan warganegara Malaysia di luar negara mengetahui apa yang berlaku di tanah air secara langsung atau secara siaran tertunda. 

Universiti awam di Malaysia sedar kecanggihan teknologi media sosial tersebut boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Kaedah blended learning atau pembelajaran campuran menjadi lebih efektif apabila digabungkan dengan media sosial.

3.2. Kesan Penggunaan Media Sosial
Di alam siber, seorang pengguna boleh diwakili oleh sebuah avatar atau imej yang jantina, ras, kewarganegaraan, kerja, status perkahwinan, watak dan usianya boleh berbeza dengan keadaan di alam sebenar. Seorang lelaki tua boleh memberikan imej jejaka kacak yang muda dan kaya. Begitu juga seorang wanita boleh menyamar sebagai gadis ayu yang belum berpunya sedangkan mungkin sudah bersuami dan beranak enam. Situasi sedemikian amatlah dibimbangi, ini kerana hanya pentadbir media sosial berkenaan sahaja yang mengetahui peribadi sebenar, pengguna yang berniat jahat mudah mempengaruhi rakan media sosial lain dan melakukan pelbagai tindakan yang akhirnya menyebabkan kerugian wang ringgit, harta benda dan maruah.

Di Malaysia, penggunaan media sosial begitu meluas dan ramai warganegara melanggani beberapa aplikasi serta mempunyai lebih daripada satu akaun. Dengan kemudahan membentuk kumpulan atau komuniti, apa yang dimuat naik oleh pengguna akan diterima oleh semua ahli dalam kumpulan maya tersebut. Sesuatu berita begitu cepat merebak dan menjadi viral kerana setiap maklumat yang dikongsi akan cepat dimajukan kepada pengguna laman sosial yang lain.

Terdapat kajian menunjukkan lebih ramai yang malas untuk berfikir lama dan mudah mempercayai maklumat yang diperoleh dari pelbagai aplikasi media sosial sebagai sahih. Oleh itu, media sosial bertukar menjadi satu wahana yang efektif untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah. 

Masyarakat perlu dididik untuk lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial. Pelbagai kaedah boleh digunakan untuk memastikan pengguna mematuhi undang-undang dan menggunakannya secara beretika. Pendidikan boleh membentuk budaya bermedia sosial yang lebih efektif, mampan dan sesuai dengan nilai murni. 

Media sosial mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan patut beroperasi mengikut undang-undang dan berlandaskan hak asasi individu. Seseorang yang menyalahgunakan rangkaian media sosial atau media baharu seperti laman sesawang, WhatsApp, Twitter, portal, Facebook, blog, webtv, dan untuk menyebar berita palsu, lucah, meng­ancam keselamatan dengan niat menyinggung perasaan, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika didapati bersalah, boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

4. NILAI DAN ETIKA MASYARAKAT MELAYU DALAM MENDISIPLINKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL.

4.1. Adat Melayu dan Natijahnya
Dalam konteks hukum adat, individu-individu dalam masyarakat Melayu dapat digabungkan di bawah satu sistem norma dan nilai yang seragam. Adat bukan sahaja dapat menghapuskan bibit-bibit konflik antara ahli-ahli masyarakat yang berbagai darjat dan karenah itu, malahan ianya juga berfungsi dalam membentuk peribadi, budaya dan jatidiri sesuatu bangsa itu. Bangsa melayu sememangnya mempunyai adat yang unik dan khusus, dari cara pemakaian, bahasa, tatacara, faham dan resam. Inilah yang dikatakan sebagai keseragaman nilai dan norma yang menjadi sebahagian dari perilaku dan identiti Bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang menganut agama Islam.

Dunia tanpa sempadan serta fenomena ledakan media sosial masa kini telah banyak menghakis tutur bahasa, adab dan etika sosial, oleh itu nilai budi menjadi kian menipis. Peralihan peradaban dunia tanpa sempadan yang kian berkembang turut mengurangkan keindahan berbahasa dan adab sopan yang luhur, digantikan dengan kosa kata yang lebih hipster yang menjadi ikutan anak muda.

4.2. Adab dan Etika di Media Sosial
Kemajuan teknologi media sosial masa kini membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain. Namun disebalik kemajuan tersebut terdapat impak negatif akibat dari pelanggaran etika oleh pengguna-pengguna laman sosial yang tidak berdisiplin dan tidak beradab. Setiap pengguna laman sosial seharusnya faham tentang adab dan etika serta sedia bertanggungjawab terhadap segala makluman yang ingin dikongsi kepada umum. Mereka harus sedar bahawa kesan akibat dari pelanggaran etika sewaktu melayari laman sosial bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri sahaja, malah ia boleh mengancam keselamatan orang lain dan masyarakat umum. Perbuatan tersebut juga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan sesebuah negara.

Bangsa melayu yang menganut agama Islam pastinya akan menuruti segala peraturan dan etika yang terkandung di dalam syariat Islam itu sendiri. Perkara berkaitan adab, akhlak dan etika sememangnya terkandung dalam ajaran Islam dan seluruh umat wajib mematuhinya. Selagi mana seseorang itu patuh dengan ajaran Islam, pastinya akan terhindar dari pelanggaran adab, nilai dan etika dalam kehidupan harian termasuklah dalam penggunaan media sosial.

4.3. Muraqabah
Setiap pengguna laman sosial mesti mengetahui, faham dan sentiasa mematuhi etika sewaktu menggunakan laman sosial. Muraqabah bermaksud merasa selalu merasa diri sentiasa diawasi oleh Allah S.W.T. Jika setiap pengguna media sosial sentiasa bersikap muraqabah pasti akan mampu mengawal diri daripada melakukan perkara yang melanggar etika dan adab sewaktu melayari media sosial dan internet, setiap maklumat dan komen yang ingin di kongsi tidak akan melampai batas dari yang sepatutnya.

4.4. Tidak Mempamerkan Bahan Pornografi.
Era kecanggihan internet mendedahkan satu lagi cabaran getir iaitu serangan bahan pornografi melalui web. Kini ratusan ribu laman web sedia mendedahkan gambar lucah yang boleh merosakkan pemikiran umat Islam khususnya. Islam mensyariatkan umatnya supaya menutup aurat lebih-lebih lagi kaum wanita. Begitu juga lelaki mempunyai batasan-batasan yang wajib ditutup. 

Pemaparan video atau gambar pengguna dalam jaringan sosial adakalanya di luar batasan adab, adat melayu dan agama Islam yang berkaitan pergaulan dan aurat. Ketertiban agama dan budaya seakan menjadi aspek terkemudian setelah kepuasan dan motif pengguna itu dipenuhi. Sebagai contoh, pemaparan gambar yang melibatkan pendedahan aurat dan adakalanya dalam aksi yang keterlaluan telah menjadi perkara biasa kepada individu berkenaan tanpa ada segan silu. Mungkin kesedaran dalam hukum Islam dan pengetahuan yang rendah dalam konteks adab aurat. 

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa, adab sopan yang tinggi, Islam telah menjadikan bangsa melayu lebih bertamadun melalui ajaran yang terkandung didalamnya. Hal ini berkaitan pelanggaran etika seperti memuat naik gamber lucah dan sebagainya adalah dilarang di dalam Islam, aspek keimanan adalah penting bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku.

4.5. Penerapan Nilai Adab Dalam Penulisan
Kaitan antara cara berkomunikasi sesama manusia dalam satu hubungan sosial sama ada komunikasi secara terbuka atau melalui bantuan talian seperti telefon, internet voice chatting dan live video protocol, pertuturan adalah metod komunikasi yang biasanya dilakukan. Namun, cara komunikasi melalui penulisan adalah aktiviti komunikasi yang utama dalam jaringan sosial sebagai ciri utama pengguna menyampaikan maksud mereka pada khalayak pengguna yang lain. Proses sosialisasi berlaku apabila pengguna menulis sebarang aktiviti yang mereka lakukan, mengekspresikan perasaan mereka serta memberi komen terhadap post yang dilakukan di wall pengguna lain. 

Antara sedar atau tidak, penggunaan bahasa dan ketertiban budaya dalam lengok bahasa dilupakan akibat keghairahan aktiviti ‘penulisan bebas’ di wall jaringan sosial berkenaan. Sehinggakan penggunaan perkataan yang diluar tahap kesopanan bahasa tidak mempamerkan struktur nilai-nilai sebagai umat Islam. 

Al-Quran telah dengan jelas menganjurkan umatnya bercakap dengan perkara-perkara yang sopan dan tidak sia-sia. Ekspresi perasaan seperti memarahi seseorang, luahan hati dan meletakkan diri mereka sebagai yang terhebat, melengkapkan lagi kurangnya pengamalam nilai-nilai luhur dalam adab pergaulan Islam. Peradaban bangsa menjadi kayu pengukur tahap ketamadunan manusia yang merujuk kepada perkembangan nilai sosial kelompok masyarakat tertentu. Perkembangan teknologi komunikasi bangsa melayu pasti akan menjadi lebih mantap sekiranya ajaran Islam dipatuhi.

4.6. Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan
Di Malaysia, prinsip Rukun Negara merupakan tonggak negara yang dipegang oleh bangsa Malaysia dalam melahirkan rakyat berpaksikan kepada satu tunjang utama prinsip kehidupan. Merujuk prinsip kesopanan dan kesusilaan secara langsung adalah berkaitan dengan praktikaliti hubungan di kalangan rakyat Malaysia. Nilai ini adalah intisari komunikasi yang seharusnya diamalkan dalam perhubungan manusia, dan ianya dikaitkan dengan tahap peribadi individu. 

Sebagai contoh, ‘cakap berlapik’ dianggap sebagai nilai yang baik di kalangan orang Melayu. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pelbagai perubahan persekitaran, seperti sifat keterbukaan dalam ruang siber (Hargittai, 2007), rasa terpinggir, secara nyata atau tidak, menyebabkan sifat kesopanan dan kesusilaan yang merujuk kepada budi telah terhakis sedikit demi sedikit. Budi dikategorikan dengan jelas dalam prinsip kelima rukunegara sebagai prinsip kesopanan dan kesusilaan yang mementingkan peradaban dan ketertiban diri dalam hubungan sesama manusia. Budi mencorakkan aspek sosial dalam mewujudkan hubungan antara manusia melalui penekanan tahap kesopanan dan kesusilaan dalam hubungan sesama kaum di Malaysia.

4.7. Praktis Adab Melayari Internet Sebagai Ibadah
Dalam konteks penggunaan media sosial masa kini, penyebar maklumat tidak boleh menyebarkan sesuatu maklumat dengan niat takabur dan riak ataupun sengaja disensasikan bagi tujuan kemegahan atau kebongkakan kecuali ke atas musuh yang zalim. Penyebar maklumat hendaklah memberi keutamaan kepada penyebaran maklumat yang diperlukan oleh umum mengikut hirarki dan prioriti keperluannya. Penyebar maklumat tidak harus menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak pasti dan bukan ahli dalam bidang tersebut. 

Sebagai pengakses maklumat pula tidak digalakkan mempersoalkan terlalu banyak kemusykilan remeh temeh sehingga mencetuskan situasi membingungkan. Pengakses maklumat juga tidak harus menjalankan ujian terhadap sumber maklumat dengan tujuan menyerlahkan kelemahannya kecuali untuk menyelidiki kualiti autoriti dan keadilan peribadi sumber tersebut mengikut kaedah sewajarnya. Penyebar maklumat perlu memiliki matlamat ke arah menjadikan sasaran pengakses menjadi semakin baik atau lebih cemerlang dengan maklumat yang disampaikan.

4.8. Mengelakkan Sebarang Pendustaan
Islam menegah ummatnya berbohong serta mengelakkan sebarang pendustaan dalam menggunakan internet. Pendustaan disini merujuk kepada penipuan atau pembohongan maklumat yang diletakkan di dalam laman web, blog atau sebagainya. Sebagai contoh, dalam penulisan blog yang memberi maklumat salah dan tidak tepat. Oleh yang demkian, pendustaan tersebut akan tersebar luas dan puncanya adalah dari penulis yang telah dibuat. Sebagai seorang pengguna perlu bijak memilih maklumat yang dicari dan tidak menerima bulat-bulat terhadap maklumat yang diperoleh.

4.9. Menggunakan Internet dengan tujuan yang baik atau medan mendapatkan ilmu.
Islam tidak pernah menentang kehadiran teknologi. Walaubagaimanapun, Islam telah meletakkan adab dan etika tersendiri dalam mengaplikasi teknologi dalam kehidupan yang mana telah wujud satu abad yang lalu. Umat Islam perlu lebih berhati-hati terhadap input-input yang diletakkan di dalam pelbagai aplikasi media sosial kerana ianya dapat member kesan terhadap ketakwaan kepada Allah yang Esa.

Islam merupakan agama yang syumul. Lantas, seluruh aspek kehidupan masyarakat melayu tidak akan terpisah selagimana syiar Islam dilaksanakan dengan sebaiknya. Segala hukum-hukum yang diperundangkan adalah bermatlamat untuk pembentukan akhlak dan siasah seseorang walau dimanapun ia berada.

5. KESIMPULAN.
Penggunaan laman sosial mampu mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada si penggunanya. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh semua pihak agar teknologi ini dapat memberi manfaat terbaiknya.

Keseragaman nilai, resam dan norma dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sentiasa hidup dalam jiwa keislaman. Merujuk kepada istilah ‘Melayu itu Islam’ iaitu nilai-nilai murni yang berjiwa Islam seperti amalan muafakat, gotong royong, budiman, budi pekerti, balas budi, adab, sabar, santun, setia, takzim, hormat dan banyak lagi. Nilai-nilai murni ini banyak berkait dengan soal hati, yang mana dikatakan bahawa hati itu adalah penghulu pancaindera. Maka tidak hairanlah adat yang diamalkan ini memartabatkan Melayu sebagai bangsa yang mempunyai kerohanian tinggi.

Secara dasarnya, pembangunan ciri-ciri baru dalam jaringan sosial telah meletakkan jaringan sosial seperti Facebook, Twitter dan MySpace di tangga teratas kepada pengikut dan pengguna setia kepada jaringan sosial berkenaan. Pengaplikasiannya memerlukan proses pemaparan diri dengan sedikit sebanyak membuka ruang kepada pengguna memaparkan diri mereka supaya kelihatan lebih menarik kepada pihak yang lain dengan bermotifkan mewujudkan hubungan sosial yang segera dengan ramai pengguna lain dan menjadi popular dalam sekelip mata. Justeru itu aspek disiplin dan patuh kepada etika sewaktu menggunakan media sosial amat perlu agar kemudahan teknologi ini tidak disalahgunakan.


RUJUKAN

Dahlan, H. M. (1991). Local Values in Intercultural Management. Kampus Sabah Universiti
Kebangsaan Malaysia, Fakulti Sains Pembangunan on 21 June 2011. Malaysian Management Review 1. Pg. 45-50. http://mgv.mim.edu.my/MMR/ 9104/910405.Html.

Dr. Shamsuddin Othman (2015). Modul OUM ABMB2103 Islam dan Kebudayaan Melayu
(Edisi Pertama) Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Lim, K. H. (2003). Budi as the Malay Mind: A Philosophical Study of Malay Ways of
Reasoning and Emotion in Peribahasa. Unpublished Dissertation. University of
Hamburg, Germany.

Mohd Yusof, Farahwahida & Muhamad Nur Afzan (2010) Aurat Wanita Muslim Menurut
Perspektif Islam: Penerimaan Dan Pengamalan Di Kalangan Masyarakat. Aurat Wanita Muslim Menurut Perspektif Islam: Penerimaan Dan Pengamalan Di Kalangan Masyarakat . pp. 1-7. (Unpublished).

Romlah Ramli, PhD. Sejauh Mana Kebebasan Dalam Media Soaial: Peradaban Sosial dan
Privasi Dalam Sempadan Keagamaan

Sumber-sumber maklumat dari laman sesawang.
ABMB2103 ISLAM DAN KEBUDAYAAN MELAYU Assingment September 2017.

Ciri-ciri kesyumulan syariah Islam, pengaplikasian prinsip syariah di Malaysia

1. PENGENALAN Islam merupakan agama yang diredhai oleh Allah SWT , ia adalah suatu cara hidup yang wajib dilaksanakan, syariah meran...